KLUANG – DAP mengakui berdepan cabaran untuk menarik pengundi Cina supaya menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.
Ini kerana, menurut Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching, beliau menerima maklum balas daripada segelintir pengundi kaum Cina di DUN itu yang berasa tidak selesa dengan `seorang’ pemimpin daripada UMNO.
Tanpa menamakan pemimpin UMNO berkenaan, Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata, beliau bagaimanapun mengingatkan pengundi Cina supaya tidak membuat keputusan hanya disebabkan oleh tindakan seorang pemimpin UMNO sahaja.
“Mungkin kita (pengundi Cina) tidak suka beliau (pemimpin UMNO) atas pelbagai sebab, tetapi dalam masa sama jangan lupa bahawa kita ada ramai pemimpin lain yang bagus yang perlu kita sokong.
“(Pengundi Cina) jangan ada pemikiran mahu menggunakan PRK Mahkota ini untuk memberikan pengajaran kepada pemimpin UMNO berkenaan, sebab kita kena faham kalau kita kalah di sini, ia bukan kekalahan seorang pemimpin UMNO sahaja, tetapi juga kekalahan BN dan Pakatan Harapan (PH) serta Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika turun berkempen dalam program Ceramah Kelompok Perpaduan sempena PRK DUN Mahkota di Taman Lian Seng di sini, malam tadi.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai ditanya berkenaan sentimen pengundi Cina terhadap BN dalam PRK DUN Mahkota berikutan pergeseran antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal.
Pada 11 September lalu, Teresa memfailkan saman terhadap Muhamad Akmal dan menuntut ganti rugi sebanyak RM25 juta selepas mendakwa Ahli Dewan Negeri (ADN) Merlimau berkenaan memutar-belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.
Sementara itu, Nie Ching turut mengingatkan pengundi DUN Mahkota yang mana kemenangan calon BN dalam PRK tersebut amat penting khususnya untuk menarik lebih banyak pelaburan asing bukan hanya di Johor, malah kepada negara.
Jelas beliau, kemenangan calon BN akan menghantar isyarat jelas kepada pelabur asing yang mana situasi politik di negara ini semakin kukuh dan stabil, sekali gus menjadikan Malaysia destinasi terbaik untuk mereka meningkatkan pelaburan.
Apatah lagi, tambahnya, negara ketika ini juga sedang berada pada landasan tepat ke arah pemulihan ekonomi yang memerlukan sokongan pengundi DUN Mahkota untuk memastikan Kerajaan Perpaduan dapat mentadbir negara dengan mandat lebih kuat.
“Kalau BN tak menang di sini, mungkin ia akan menghantar mesej kepada pelabur asing yang mana politik di Malaysia masih belum stabil, masih boleh berlaku Langkah Sheraton (usaha menukar kerajaan).
“Ini akan menakutkan pelabur asing sebab bila berlaku pertukaran kerajaan, maka akan berlaku lagi perubahan polisi dan sebagainya, jadi ini yang kita mahu elakkan,” katanya. – MalaysiaGazette