KLUANG – “Roh dan semangat reformasi Pakatan Harapan (PH) yang diperjuangkan sebelum ini sudah mati selepas mereka menjadi kerajaan di Putrajaya,” demikian menurut Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Azmin Ali.
Tambah beliau, reformasi hari ini adalah perjuangan palsu malah melanggar prinsip dan perjuangan sebenar yang dibawakan sebelum ini.
Beliau berkata, banyak reformasi yang tidak dilakukan termasuk apabila ada pemimpin yang mempunyai 47 pertuduhan kes rasuah di mahkamah diangkat menjadi pemimpin tertinggi negara.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga mendakwa, bukan sahaja reformasi tidak dilaksanakan malah kerajaan dilihat semakin menekan hidup rakyat.
Antaranya kata beliau, rakyat terbeban dengan isu seperti kenaikan harga minyak, dikenakan cukai dan ketiadaan beras dalam pasaran.
“Beri isyarat dan mesej kepada kerajaan di Putrajaya dan Kerajaan Negeri Johor supaya harus lebih proaktif, cakna dan peduli rakyat.
“Rakyat tengah susah bela mereka, bukan dengan menaikkan cukai, bukan tekan rakyat, bukan zalimi rakyat. Reformasi apa yang diperjuangkan oleh mereka selama ini,” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mesjid Lama, Kampung Melayu di sini malam tadi.
Turut hadir Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Yang Dipertua Pas Johor, Abdullah Husin.
Azmin berkata, bagi memperingati perjuangan reformasi, kerajaan akan mengadakan Himpunan Keadilan Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi Ke Malaysia Madani di Stadium Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lulmpur malam ini.
Himpunan itu kata beliau, kononnya mahu memperingati perjuangan reformasi namun percaya rakyat akan menolaknya dan tidak akan mendapat sambutan.
“Malam esok (malam ini) konon-kononnya ada himpunan di Stadium Axiata sempena 20 September ini tarikh (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) ditangkap.
“Saya dimaklumkan malam esok tidak ada sambutan dan saya difahamkan kakitangan kerajaan akan dikerah untuk memenuhi stadium. Mengapa mereka (kakitangan) perkhidmatan awam (dikerah) untuk mendengar ceramah politik yang sudah mati. Semangat reformasi yang sudah mati.
“Jangan heret anggota kerajaan untuk mendukung satu perjuangan palsu yang telah mengkhianati mandat rakyat. Reformasi sudah mati, sudah jadi reformati,” katanya.
Azmin mendakwa, pejuang dan reformis tulen adalah beliau dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bukan Anwar serta mereka yang kini berada dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Dakwanya lagi, sebelum Anwar ditahan beliau merupakan individu pertama ditangkap pada 16 September sebelum diaib dan dipaksa memberikan keterangan palsu dalam lokap.
“Di situlah tercetusnya reformasi. Kalau nak bicara soal reformasi saya yang sepatutnya dijemput untuk berucap pada malam esok (mereka) yang lain lari.
“Ramai pemimpin yang hari ini kepung Anwar, kini duduk dalam jemaah menteri tapi masa itu mereka lari ke luar negara, pergi ke Indonesia, Australia dan United Kingdom, saya boleh senaraikan nama mereka satu persatu,” katanya.- MalaysiaGazette