KUALA SELANGOR – “Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai, tapi kami tiada harta lagi, macam mana?”.
Itu rintihan seorang warga emas berusia 85 tahun, Meah Lano, penduduk tetap di Kampung Baru Lembah Pantai, Tanjong Karang, Selangor.
Katanya pada MalaysiaGazette, sudah tiga kali rumahnya mengalami banjir akibat ban pecah disebabkan fenomena air pasang yang melanda di sekitar Pantai Sungai Kajang.
“Kami sudah duduk sini selama 25 tahun dan mengalami situasi banjir disebabkan ban pecah air laut sebanyak dua kali, manakala sekali akibat ban pecah air sungai menyebabkan kami hidup berpindah randah.
“Masa kejadian awal pagi (18 September) kawasan rumah riuh. Tanpa saya sedari air dah naik sampai buku lali. Saya, bersama anak dan cucu yang kurang upaya (OKU) segera keluar selamatkan diri tanpa peduli pintu tak berkunci,” katanya.
Meah merayu agar wakil rakyat Tanjong Karang atau pihak berwajib segera melakukan penambaikan ke atas benteng di tepi pantai berdekatan kawasan kampungnya yang dilihat semakin terhakis dibadai ombak.
“Saya minta tolong sangat, kalau nyawa makcik ini pendek, pikirkan anak cucu kami di sini yang OKU, laratkah kami? Setengah orang kata ‘kalu takut main ombak, jangan rumah di tepi pantai’ tapi kami dah dihantar tepi pantai. Kami tiada harta mahupun tanah,” ujarnya.
Seramai 101 mangsa daripada 36 buah keluarga di Kampung Baru Lembah Pantai masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Institut Pengurusan Peladang.
Dalam pada itu, tinjauan MalaysiaGazette di kawasan kampung tersebut mendapati beberapa rumah berhampiran kawasan pantai telah dikosongkan dan aktiviti penambahbaikan ban pecah sedang dilakukan.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang terlibat, Rosnawati Johari, 45 turut terkesan dengan situasi tersebut yang menyebabkan sembilan ahli keluarganya membabitkan dua kelamin ditempatkan di PPS tersebut.
Katanya, proses menyelenggara ban di sepanjang Pantai Sungai Kajang sepatutnya dijalankan pada bulan Julai yang lalu namun tiada sebarang penambahbaikan dilakukan pihak berwajib.
“Setiap tahun, kita akan mengalaminya, sama ada setahun sekali atau setahun dua kali situasi seperti ini, kita memang akan bersiap sedia.
“Disebabkan projek pada bulan Julai tidak berjalan, kami terpaksa membuat ban sendiri seperti tahun sebelumnya dengan memasukkan pasir dalam guni. Dan akibat situasi ini, penduduk mengalami kerugian harta.
“Saya harap pihak berwajib dapat lihat dan saksikan situasi yang berlaku sekarang kepada penduduk setiap kali fenomena air pasang berlaku, kami berasa ketakutan di rumah sendiri,” katanya – MalaysiaGazette
Mungkin tenggelam total baru wakil rakyat dan semua pihak berwajib baru bangun tidur, maklumlah rumah semua berhawa dingin, bertilam empuk dan di atas bukit.