Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Ariffin.

SERDANG – Produk baja keluaran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang dilancarkan menerusi syarikat subsidiarinya, NAFAS Bajakimia Sdn Bhd (NBKSB) habis dijual sepanjang Pameran Pertanian, Hortikultur, dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024.

Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Ariffin berkata, ia termasuk produk baja Peladang 25 berkonsep cecair pelepasan terkawal yang baharu sahaja dilancarkan.

Baja Cecair Pelepasan Terkawal PELADANG 25 telah dilancarkan semperna MAHA 2024 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pentas Utama Dewan A, MAEPS, Serdang. Foto AIZAT ZAINAL, 19 SEPTEMBER 2024

Permintaan tinggi menyebabkan bekalannya telah ditambah semula buat kali kedua.

“Tidak hairan kenapa baja Peladang 25 ini merupakan satu pilihan ideal kerana tidak perlu bergantung kepada bekalan air serta fleksibel untuk keadaan ladang yang lembab.

Antara produk yang dijual pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 12 SEPTEMBER 2024“Selain baja, penyumbang terbesar kami untuk pameran kali ini adalah kejayaan NAFAS menjual tiga traktor, jentera pertanian yang ketiga-tiganya bernilai lebih RM300,000 dan tidak terkecuali produk ayam yang juga sudah dua kali kami tambah semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam pertandingan memancing Fun Fishing di NAFAS Cube di sini hari ini.

Menurut Muhammad Faris, sambutan yang diterima untuk MAHA kali ini sangat memberangsangkan.

“Taktikal yang kami lakukan kali ini dengan memecahkan reruai ke lima zon yang berbeza mendatangkan hasil apabila jualan setakat semalam telah mencecah RM700,000.

“Jumlah ini telah melebihi sasaran kami yang pada asalnya RM300,000 hingga RM500,000. Selain itu, NAFAS turut menerima inkuiri bukan sahaja daripada pihak tempatan malahan dari luar negara seperti Myanmar, Kemboja dan negara yang lain untuk berkolaborasi dengan produk utama kami seperti baja,” tambahnya.

Penglibatan agensi kerajaan, badan swasta serta perniagaan kecil dan sederhana dalam pameran MAHA yang ke-100 ini secara tidak langsung telah meningkatkan kesedaran rakyat mengenai agenda keterjaminan makanan negara yang diterapkan oleh Kerajaan MADANI.

Dengan pameran yang berbaki sehari lagi, masyarakat tidak seharusnya melepaskan peluang untuk turut serta dalam pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara itu.

“Dalam pada itu, kami turut menjangkakan sambutan lebih luar biasa di dua hari yang terakhir ini dan diharapkan jumlah jualan akan mencecah RM1 juta,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here