Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR- Banjir di negeri-negeri utara tanah air telah menenggelamkan 5,822.59 hektar tanaman padi dengan kerugian dianggarkan RM32 juta.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementerian menyediakan pelbagai bantuan pasca bencana bagi membantu petani, penternak dan nelayan yang terkesan.

Katanya, bantuan tersebut disalurkan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi dan Tabung Bencana Pertanian bagi aktiviti agro-makanan selain tanaman padi.

“Selain bantuan tersebut, hari ini AgroBank turut mengumumkan tawaran moratorium kepada para pelanggannya yang terjejas akibat banjir yang berlaku sekarang ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohamad, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah dan negeri susulan banjir di negeri utara semenanjung sejak 18 September lalu.

Selain itu, Bilik Gerakan Bencana KPKM di peringkat pusat dan negeri turut diaktifkan.

Katanya, Bilik Gerakan Bencana sedang memantau keadaan cuaca, membuat hebahan awal kepada golongan sasar dan melaksanakan pelan mitigasi bagi mengurangkan kerugian kepada sektor agro-makanan negara ketika bencana

KPKM juga katanya telah mengadakan libat urus bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi memastikan maklumat berhubung penyelarasan bencana banjir di peringkat daerah dan negeri sentiasa dikemaskini.

Maklumat tersebut perlu disampaikan kepada kumpulan sasar terutamanya bagi kawasan-kawasan yang berisiko mengalami bencana.

Kementerian juga menurut beliau, bersedia menggerakkan aset-aset bagi membantu usaha-usaha menyelamat semasa banjir sekiranya perlu dan mendapat kebenaran daripada NADMA. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here