KUALA LUMPUR- Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden Bersatu dalam pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini.
Pengesahan itu dibuat oleh seorang pegawai Hamzah selepas menghantar borang pencalonan bagi pihak Ahli Parlimen Larut itu di Ibu Pejabat Bersatu, pada pukul 11 pagi tadi.
Hamzah, yang menyandang jawatan Setiausaha Agung bagi penggal 2020-2023, akan bertanding untuk jawatan yang kini dipegang oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Difahamkan, Datuk Seri Ahmad Faizal akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden Bersatu, memberi laluan kepada Hamzah untuk merebut jawatan Timbalan Presiden, susulan keputusan yang dibuat oleh Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada 13 Julai lalu, Muhyiddin berkata, beliau telah diberi mandat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk berunding dengan barisan kepimpinan parti bagi memastikan pemilihan pada Oktober nanti tidak mengakibatkan perpecahan dalam parti.
Menurut Muhyiddin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula ditawarkan jawatan Setiausaha Agung Bersatu.
Difahamkan, calon lain yang turut menghantar borang pencalonan bagi pemilihan di sini adalah Datuk Dr Radzi Jidin untuk jawatan Naib Presiden, manakala Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan penyandang Ketua ARMADA Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menawarkan diri bagi jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Untuk rekod, Ahli Parlimen Machang itu tidak bertanding bagi jawatan Ketua ARMADA selepas beliau melepasi had usia untuk terus memegang jawatan dalam sayap parti itu.
Sementara itu, Pengerusi Tetap ARMADA yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda PN Akmal Zahin Zainal Zahir, menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Ketua ARMADA, manakala Penolong Setiausaha ARMADA Muhammad Faiz Rahmad, pula mencalonkan diri sebagai Timbalan Ketua ARMADA
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia Hilman Idham dalam sidang media berasingan turut mengumumkan bertanding jawatan Ketua ARMADA.
Musim pemilihan parti itu bermula dengan proses pencalonan di peringkat bahagian di seluruh negara bermula semalam manakala proses pencalonan peringkat pusat bagi jawatan MPT, pimpinan tiga sayap parti Srikandi, ARMADA, Srikandi Muda dan Bersekutu Pusat dijalankan hari ini.
Tarikh persidangan bagi peringkat Bahagian parti adalah pada 12 hingga 26 Okt.
— BERNAMA