Mohd Fared Mohd Khalid

KUALA LUMPUR- Kerajaan negeri Johor memulakan siasatan aktiviti dan pergerakan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tindakan bersepadu itu dilakukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tambahnya, kerajaan negeri memandang berat terhadap pelbagai dakwaan mengaitkan GISBH ketika ini.

“Kerajaan negeri Johor menyeru agar semua pihak termasuk ahli-ahli GISBH dan orang ramai di luar sana agar tampil membuat aduan serta memberikan keterangan sekiranya mempunyai maklumat yang relevan bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Fared menegaskan, MAINJ akan menggunakan perundangan dan enakmen sedia ada bagi mengekalkan keamanan beragama serta memastikan pematuhan undang-undang terus dikuatkuasakan.

Semalam beliau memaklumkan, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor akan membuat kajian terlebih dahulu terhadap kepercayaan dan ajaran GISBH sebelum mengeluarkan sebarang fatwa.

Jelasnya, fatwa hanya boleh ditetap oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri selepas diperkenan Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Bagaimanapun, beliau maklum mengenai fatwa negeri Perlis yang memutuskan kepercayaan dan ajaran GISBH adalah sesat.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here