Ibrahim Aqil individu yang dikehendaki AS terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Beirut. FOTO Kerajaan AS

BEIRUT- Komander kanan Hizbullah, Ibrahim Aqil disahkan terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas ibu kota Lubnan, Beirut pada Jumaat.

Kumpulan pejuang Hizbullah membuat pengumuman itu selepas Israel berkata, Aqil antara beberapa tokoh penting Hizbullah terbunuh di dalam serangan tersebut.

Terdahulu, pegawai kerajaan Lubnan berkata, sekurang-kurangnya 14 terbunuh manakala puluhan yang lain cedera selepas serangan berterusan berlaku di kawasan Dahieh, kubu kuat Hizbullah yang terletak di selatan Beirut.

Serangan pada Jumaat itu merupakan yang pertama sejak Julai yang mana telah membunuh panglima perang Hizbullah, Fuad Shukr.

Sementara itu, jurucakap tentera Israel (IDF), Daniel Hagari dalam kenyataan berkata, Aqil yang merupakan komander pasukan elit Hizbullah, Radwan terbunuh bersama beberapa orang anggota dan komander yang lain.

“Mereka berkumpul di bawah tanah sebuah bangunan kediaman di tengah-tengah kejiranan Dahiyah untuk bersembunyi dalam kalangan orang awam Lubnan.

“Mereka menggunakan orang awam sebagai perisai manusia,” katanya.

Untuk rekod, Aqil merupakan individu dikehendaki oleh Amerika Syarikat disebabkan beliau mempunyai hubungan dan kedudukan tinggi di dalam Hizbullah.

Kumpulan pejuang Hizbullah dikategorikan sebagai organisasi pengganas oleh Israel, AS, United Kingdom dan beberapa negara lain.-Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here