Dr Helmi Ibrahim

KUALA LUMPUR – Majlis Ekonomi Halal (MEH) berpendapat sudah sampai masa kerajaan memperkenalkan Dasar Halal Negara bagi menangani masalah berhubung pensijilan halal.

Setiausaha Agung MEH, Dr Helmi Ibrahim berkata, pihaknya antara terawal mengutarakan cadangan ini sejak tahun 2014 dan beberapa kali mengemukakan cadangan lengkap beberapa kali kepada kerajaan.

Malah sejak 2014 Majlis Ekonomi Halal (MEH) telah mengadakan pelbagai sesi libat urus dengan pelbagai pihak dalam mendakyahkan Dasar Halal Negara.

Pada tahun ini, kata Helmi, MEH akan melancarkan Tahun Kesedaran Halal 2024 dan 2025 dan akan mengadakan kempen siar raya dalam memupuk kesedaran halal dan sekaligus mempromosikan konsep Dasar Halal Negara yang lebih inklusif.

“Negara kita mempunyai dasar mengenai sisa pepejal tetapi ironinya negara tidak mempunyai Dasar Halal malah Akta Halal pun tidak ada.

“Ini adalah suatu yang menghairankan memandangkan Malaysia adalah sebuah negara di mana agama rasminya adalah Islam namun semangat Agama Persekutuan ini tidak termaktub dalam dasar kerajaan dalam konteks ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Helmi, Dasar Halal Negara haruslah bersifat inklusif dan bukan eksklusif dengan merujuk kepada persijilan halal sahaja.

Dasar ini hendaklah merangkumi eko-sistem halal keseluruhannya.

“Dengan adanya Dasar Halal Negara maka segala kekeliruan dapat ditangani dengan tuntas dan kerajaan mempunyai kerangka perundangan dan pentadbiran yang jelas untuk pembangunan industri halal.

Dalam masa yang sama JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) boleh berperanan lebih khusus dalam memajukan sektor halal sebagai pola pertumbuhan ekonomi umat Islam.

Buat masa ini, katanya, industri halal dari segi market capitalisation dimonopoli oleh pengusaha bukan Islam padahal majoriti penggunanya adalah umat Islam.

Sudah sampai masanya umat Islam bukan hanya berbangga mempunyai mekanisme persijilan halal yang bertaraf global tetapi juga melahirkan usahawan halal muslim yang mampu menampilkan produk dan perkhidmatan untuk pasaran halal global.

MEH, katanya, sedia bekerjasama dengan Kerajaan dalam merangka dan menjayakan Dasar Halal Negara. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here