Datuk Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar telah dilantik sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ke-7

KUALA LUMPUR – Datuk Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar dilantik sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ke tujuh untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai Isnin ini hingga 22 September 2026.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan berkata, Osman yang juga penyandang Kursi Al-Ghazali di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) UIAM, memiliki Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Matematik dari University of London, United Kingdom.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Falsafah Islam dari University of Temple, Amerika Syarikat.

Osman yang merupakan tokoh pemikir Islam yang tersohor di tanah air dan memiliki reputasi kepimpinan dan kesarjanaan dalam bidang Falsafah dan Ketamadunan Islam yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sehingga dinamakan sebagai 500 orang Islam paling berpengaruh di dunia pada tahun 2009.

“Kementerian yakin dengan pelantikan ini, beliau akan dapat mengangkat dan meningkatkan kedudukan UIAM sebagai universiti tersohor dalam peradaban Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, kementerian turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak atas jasa dan bakti beliau sepanjang menerajui UIAM sebelum ini.

Sebelum ini, Persatuan Alumni UIAM telah menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, untuk segera melantik Rektor baharu bagi menangani cabaran universiti, termasuk penurunan prestasi dalam Ranking dunia serta penurunan kemasukan pelajar antarabangsa setiap tahun. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here