Kerajaan negeri Pahang melalui Pahang Gold Sdn. Bhd. (Pahang Gold) hari ini melancarkan jenama Pahang Gold dalam usaha meneroka pembuatan produk hiliran emas serta merancakkan ekonomi negeri.

PUTRAJAYA – Kerajaan negeri Pahang melalui Pahang Gold Sdn. Bhd. (Pahang Gold) hari ini melancarkan jenama Pahang Gold dalam usaha meneroka pembuatan produk hiliran emas serta merancakkan ekonomi negeri.

Ia merupakan langkah permulaan Pahang Gold untuk menceburi pasaran emas di Malaysia.

Industri emas mempunyai potensi besar untuk diteroka Pahang Gold terutama dalam pengeluaran emas fizikal, sektor pelaburan, dan pembuatan barang kemas.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Pengerusi Pahang Gold berkata, industri emas telah lama menjadi sebahagian daripada identiti dan kekayaan negeri Pahang.

Menurut beliau, pelancaran jenama Pahang Gold juga merupakan langkah ke arah era baharu yang menjanjikan potensi besar.

“Syarikat ini bukan sahaja akan memacu ekonomi negeri tetapi juga membuka peluang pekerjaan serta menambah nilai kepada produk emas tempatan.

“Saya berharap Pahang Gold akan menjadi simbol kebanggaan negeri dan peneraju dalam industri emas negara,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Pahang Gold sempena Persidangan S-GLC Pahang 2024 di Hotel Everly Putrajaya di sini hari ini.

Majlis pelancaran juga memberi peluang kepada peserta Persidangan S-GLC Pahang untuk memahami lebih mendalam usaha Pahang Gold mencipta peluang ekonomi melalui pelaburan dan produk berasaskan emas.

Pada majlis tersebut turut diperkenalkan laman web e-dagang rasmi Pahang Gold, www.pahanggold.com sebagai platform utama pembelian dan pelaburan produk emas secara dalam talian.

Buat permulaan, tiga jenis koleksi emas iaitu Initial Edition, Core Collection dan Pahang Series seberat 0.25 gram (g) hingga 100g dalam bentuk jongkong, syiling, wafer dan Dinar Pahang Gold.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Pahang Gold, Datuk Nazri Abu Bakar berkata, sebagai pemain baharu, Pahang Gold komited untuk memperkenalkan produk emas berkualiti tinggi.

Jelas beliau yang juga Pegawai Pegawai Kewangan Negeri, usaha itu juga dapat mengukuhkan nama Pahang sebagai pengeluar emas terkemuka.

“Pelancaran Pahang Gold hari ini bukan sahaja menandakan peristiwa penting bagi syarikat, tetapi juga menjadi detik bermakna dalam usaha memperkasakan jenama emas tempatan.

“Kami yakin, dengan sokongan berterusan daripada kerajaan negeri dan pemain industri, Pahang Gold mampu berkembang sebagai peneraju dalam industri ini,” ujarnya.

Konsep ‘Merakyatkan Industri Emas’ yang diperkenalkan oleh Menteri Besar Pahang pula menyasarkan penglibatan seluruh rakyat Pahang dalam industri emas, dari peringkat huluan hingga hiliran.

Matlamat utama adalah agar setiap keluarga di Pahang memiliki emas, baik sebagai perhiasan mahupun pelaburan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here