Saifuddin ketika berucap dalam ceramah kelompok di Taman Ehsan, Kluang, malam tadi.

KLUANG –Tidak perlu mempersoal calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang berlatar belakangkan jurulatih.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana Mohamad Haizan merupakan calon paling layak dengan memiliki ciri-ciri seorang pemimpin yang diperlukan parti.

“Ada yang tanya kenapa letak seorang coach sebagai calon. Kalau kita letak seorang bekas guru, pramugara, jeneral atau jurutera, mesti akan tanya juga kenapa letak mereka sebagai calon.

“Apa yang penting calon kita mempunyai karektor dan peribadi yang baik, tegap, sihat dan mempunyai ciri kemelayuan dan keislamannya. Kebetulan beliau merupakan jurulatih bola sepak yang handal,” katanya ketika berucap dalam ceramah kelompok di Taman Ehsan di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Saifuddin berkata, biasanya seorang jurulatih sukan seperti Mohmad Haizam mempunyai semangat juang yang tinggi, lasak dan berdisiplin.

“Saya juga bekas coach bola keranjang. Saya tahu kualiti seorang coach,” ujar beliau lagi.

Jelasnya, kebolehan Mohamad Haizan bukan sahaja mengurus pasukan sebelum ini tetap juga menjadi Penyelaras Kawasan Rukun Tetangga Zon Kluang sehingga kini dan pernah menjadi Ahli Majlis Perbandaran Kluang (2021-2022).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

PN mempertaruhkan Mohamad Haizan yang merupakan bekas pemain bola sepak Johor manakala BN meletakkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here