KLUANG – Pengundi luar khususnya golongan muda tidak boleh memandang remeh kepentingan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dan perlu pulang menunaikan tanggungjawab memilih pada 28 September ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, meskipun PRK itu tidak akan merubah kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat, namun ia penting dalam memastikan nasib dan masa depan penduduk DUN Mahkota terus terbela.
Ujar beliau, PRK itu diadakan untuk memilih wakil rakyat yang mampu terus berkhidmat dan menyelesaikan masalah penduduk DUN Mahkota, bukannya memilih ‘Yang Berhormat’ yang akan hilang selepas berakhirnya PRK.
“Pengundi luar dan pengundi muda tidak boleh ada rasa PRK ini tak penting, mereka kena ingat, walaupun berada di luar, tetapi mereka menentukan nasib ahli keluarga mereka yang berada di sini.
“Jadi, jika mereka tidak balik dan yang menang nanti adalah calon yang tidak boleh bekerja, yang kasihan (rugi) adalah ahli keluarga mereka sendiri,” katanya.
Beliau ditemui pemberita dalam Pertandingan Memancing Santai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di sini, hari ini yang turut disertai calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah.
Sementara itu, Muhamad Akmal melahirkan keyakinan dengan kemampuan Syed Hussein untuk membela nasib dan membawa suara penduduk DUN Mahkota sekiranya dipilih pada PRK tersebut.
Ujar beliau, Pemuda UMNO sendiri hanya menamakan Syed Hussein kepada pucuk pimpinan Pusat untuk dipertimbangkan sebagai calon memandangkan beliau merupakan pemimpin tempatan yang sudah sedia dikenali masyarakat pelbagai umur dan kaum di DUN itu.
“Kita sendiri pun tidak sangka pucuk pimpinan akan memilih Syed Hussein sebagai calon, tetapi kita memang sudah bersedia dan apabila diberi kepercayaan, maka kita gerakkan seluruh jentera bagi memastikan kemenangan beliau,” katanya.
Ditanya berkenaan sokongan jentera Wanita UMNO berikutan desas-desus rasa tidak puas hati kerana kerusi itu tidak diwarisi kepada sayap parti berkenaan, Muhamad Akmal berkata, pihaknya sangat bertuah kerana jentera Wanita UMNO begitu bersungguh-sungguh membantu kempen memenangkan calon Pemuda UMNO berkenaan.
“Kita menerima sokongan yang sangat bagus dan sangat baik bukan hanya daripada jentera Wanita UMNO di Bahagian ini, malah dari seluruh negara yang bermati-matian berkempen untuk calon kita.
“Tanpa jentera Wanita UMNO ini saya rasa tidak mungkin untuk dapat memastikan kemenangan calon kita,” katanya. – MalaysiaGazette