Selain tidak sukar mendapatkan makanan halal, pasar malam terkenal di Taipei, Ximending Night Market juga menjadi destinasi wajib dikunjungi melihat kepelbagaian jualan dalam persekitaran yang sangat bersih.

KETIKA mendapat tugasan lawatan ke Taiwan baru-baru ini, hati penulis tertanya-tanya adakah sukar mencari makanan halal di pulau Asia Timur itu apatah lagi jumlah penduduk Islamnya hanyalah sekitar 0.3 peratus atau 70,000 daripada 23 juta majoriti rakyatnya adalah China.

Namun, apabila editor menjelaskan lawatan ke negara yang juga dikenali ‘Jantung Asia’ itu adalah untuk mempromosikan percutian mesra Muslim dikenali Salam Taiwan oleh Biro Pelancongan Taiwan, hati sedikit lega.

Bubble tea atau boba tea yang terkenal di Taiwan juga mempunyai sijil halal

Ini kerana adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke negara berkenaan yang keluasannya hanyalah sebesar Pahang atau lebih tepat 36,193 kilometer persegi.

Sebelum bertolak, puas juga saya bertanya rakan-rakan yang pernah ke Taiwan bagi mendapatkan sedikit gambaran mengenai tarikan atau restoran-restoran Muslim di negara Republik China itu – negara yang mungkin dianggap underdog untuk percutian Muslim.

Ruangan bufet hotel juga mengasingkan makanan halal malah pinggan, sudu, garpu dan cawan juga disediakan khas untuk pelancong Muslim sahaja.

Selepas lebih empat jam penerbangan, saya bersama 17 lagi rakan media dan pempengaruh lain tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan, Taipei sebelum kami dibawa menaiki bas menuju ke Hotel Courtyard by Marriot yang dikategorikan sebagai Taipei Muslim Friendly Hotel.

Menjelang malam, kami disajikan hidangan dari restoran Fried Chicken Master yang mendapat pensijilan Muslim Friendly Restaurant dari Chinese Muslim Association (CMA) malah turut menjadi kegemaran penyanyi dan pelakon terkenal yang juga Duta Salam Taiwan 2024, Nabila Razali.

Fried Chicken Master yang mendapat pensijilan Muslim Friendly Restaurant dari Chinese Muslim Association (CMA) turut menjadi kegemaran penyanyi dan pelakon terkenal yang juga Duta Salam Taiwan 2024, Nabila Razali.
Nabila Razali (tengah) dipilih sebagai Duta Salam Taiwan.

Sedikit pesanan jika membeli bubble tea atau boba tea yang terkenal di Taiwan, bersedialah untuk memegangnya sehingga ke hotel kerana di sini, agak sukar menemui tong sampah walaupun di luar tandas atau kaki lima pusat beli belah malah di pasar malam terkenal di Taipei, Ximending Night Market.

Ini kerana sudah menjadi kelaziman rakyat Taiwan untuk mambawa bersama sampah atau menyimpannya di dalam beg, atau poket dan hanya membuangnya ke dalam tong sampah di rumah.

Rakyat Taiwan menjaga kebersihatan tempat awam sebagai disiplin diri sejak sekian lama.

Maka tidak hairanlah di sini, amat sukar untuk penulis melihat longgokan sampah baik di kaki lima mahu pun longkang menjadikan persekitarannya bersih sepanjang masa yang pastinya menjadi nilai tambah buat pelancong Muslim dari serata dunia.

Selain faktor kebersihan yang boleh saya berikan lima bintang, bermula tahun ini pihak berkuasa Taiwan juga telah mengharamkan penggunaan sebarang jenis rokok elektronik termasuklah vape namun rokok tembakau masih dibenarkan di kawasan bebas asap rokok.

Mouna Restaurant di Taipei yang diusahakan wanita Magribi, Mouna Elayachi, 50, antara lokasi restoran halal wajib dikunjungi.

Seperti Malaysia yang menjadikan nasi sebagai makanan ruji penduduknya, penggemar masakan Nasi Arab atau sajian Maghribi, tidak seharusnya melepaskan peluang berkunjung ke Mouna Restaurant di Taipei yang diusahakan wanita Magribi, Mouna Elayachi, 50, yang tinggal di negara itu sejak 22 tahun lalu.

Dia yang sudah berkecimpung sejak 20 tahun dalam bidang penyediaan makanan dan minuman di Taiwan mengakui, sebagai Muslim, tidak sukar mendapat pensijilan halal sah dari CMA yang banyak membantunya.

Walaupun berdepan cabaran untuk mendapatkan rempah dan daging dari pembekal yang halal, ia bukanlah halangan untuknya terus mengembangkan cawangan ketiga perniagaan restoran halalnya itu di ibu negara Taiwan itu.

Secara keseluruhanya, terdapat lebih 400 restoran dan outlet yang sudah mendapat sijil halal di Taiwan dan angka itu semakin meningkat untuk menggamit lebih ramai pelancong Muslim ke negara yang besarnya hanya kira-kira 10 peratus daripada keluasan Malaysia.

Restoran He Fei Da menjadi pilihan pelancong Muslim jika ke National Center for Traditional Arts) di Daerah Yilan

Dari Taipei, penulis menempuh pejalanan sejauh kira-kira 70 kilometer merentasi bukit bukau dan terowong menuju ke Pusat Seni Tradisional Kebangsaan (National Center for Traditional Arts) di Daerah Yilan, yang turut menjadi lokasi wajib dikunjungi.

Di sini, pengunjung berpeluang menerokai taman berkeluasan 59 ekar itu untuk mempelajari sejarah budaya tradisional Yilan membeli produk kraftangan dan menyaksikan persembahan tradisional masyarakatnya.

Surau juga disediakan di Pusat Seni Tradisional Kebangsaan Yilan, Taiwan
Tandas Pusat Seni Tradisional Kebangsaan Yilan, Taiwan yang mesra muslim.

Sedikit tips sebelum ke sini, pastikan anda sampai seawal waktunya beroperasi bermula 9 pagi hingga 6 petang kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik yang harus dicuba di samping juga terdapat surau disediakan membolehkan pelawat Muslim meluangkan masa lebih lama di taman ini.

Lebih menarik, di sini juga pelancong beragama Islam boleh menikmati masakan citarasa Hong Kong di Restoran He Fei Da – satu-satunya restoran di Timur Laut Taiwan yang mendapat pensijilan halal daripada CMA.

Restoran He Fei Da dengan citarasa Hong Kong satu-satunya restoran di Timur Laut Taiwan yang mendapat pensijilan halal.

Bagi memenuhi standard pensijilan halal, dapur dan perkakasan memasak restoran berkenaan juga dibahagikan kepada dua bahagian sekali gus menjamin kebersihan hidangan ditawarkan.

Penulis juga teruja apabila turut berpeluang solat berjemaah di Masjid Agung Taipei (Taipei Grand Mosque) yang merupakan masjid terbesar dan terkenal di Taiwan dan terletaknya organisasi Islam yang terbesar di Taiwan – Pertubuhan Cina Muslim yang diasaskan daripada Islamic National Salvation Association atau Pertubuhan Angkatan Nasional Islam di Kota Wuhan, Tanah Besar China pada 1938.

Masjid Agung Taipei (Taipei Grand Mosque) yang merupakan masjid terbesar dan terkenal di Taiwan dan terletaknya organisasi Islam yang terbesar di Taiwan.

Kesimpulannya, sepanjang enam hari dan lima malam mengikuti rombongan Salam Taiwan 2024 kelolaan Hexa Comms, penulis boleh menyifatkan ianya sangat mengujakan dan benar-benar mengubah tanggapan terhadap negara di bahagian barat Lautan Pasifik itu.

Buktinya, selain terdapat pelbagai restoran yang mendapat sijil halal atau mesra muslim, tiga hotel berbeza yang disediakan termasuk ILLUME Taipei dan Shandori Hotel di Yilan juga mesra muslim apabila menyediakan penunjuk arah kiblat malah, tandasnya juga disediakan bidet untuk kemudahan bersuci.

Shandori Hotel di Yilan juga mesra muslim apabila menyediakan sejadah.

Untuk ruangan bufet hotel juga tidak perlu bimbang kerana ada disediakan ruang makan pengasingan antara makanan halal malah pinggan, sudu, garpu dan cawan juga disediakan khas untuk pelancong Muslim sahaja.

Untuk ruangan bufet hotel juga tidak perlu bimbang kerana ada disediakan ruang makan pengasingan antara makanan halal malah pinggan, sudu, garpu dan cawan juga dikhaskan untuk pelancong Muslim sahaja.

Tidak hairanlah, mengapa tahun lalu Taiwan berjaya menduduki tangga ketiga sebagai negara Mesra Muslim dalam Global Muslim Travel Index (kategori bukan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Berbekalkan sedikit pengalaman mengikuti percutian mesra Muslim ini, penulis pastinya akan berkunjung lagi negara ‘Jantung Asia’ ini yang nampaknya semakin dekat menawan hati pelancong Muslim bersama keluarga! – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast