Sebahagian individu yang dikaitkan dengan GISBH direman hari ini.

 

SHAH ALAM – Seramai 29 individu yang ditahan dalam beberapa siri serbuan Op Global semalam selepas dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah direman di Mahkamah Majistret Shah Alam, di sini pada hari ini.

Kesemua individu itu termasuk 16 wanita telah dibenarkan direman antara 1 hingga tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman itu telah dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar, Md Subri Hashim terhadap kesemua individu yang berusia lingkungan antara 19 hingga 62 tahun.

Mereka yang berpakaian lokap berwarna oren dan ungu telah dibawa ke mahkamah sekitar jam 11.30 pagi tadi.

Tahanan wanita direman di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.

Kemudian kesemua mereka meninggalkan mahkamah menaiki trak Black Maria dan van polis dalam keadaan tangan bergari sekitar 1.45 petang tadi.

Difahamkan mereka akan dibawa untuk tahanan di lokap berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, IPD Subang Jaya dan IPD Petaling Jaya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain semalam mengesahkan tangkapan seramai 155 individu termasuk 77 wanita yang disyaki terlibat dengan GISBH ditahan dalam Op Global di Semenanjung Malaysia.

“Kesemua mereka ditahan dalam serbuan yang dilaksanakan di 82 premis melibatkan rumah amal, klinik premis perniagaan, ma’ahad dan rumah persendirian.

“Dalam operasi sama, seramai 186 orang mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita telah berjaya diselamatkan termasuk seorang kanak-kanak yang tular di media sosial sedang dirotan oleh seorang lelaki dipercayai ahli GISBH.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan migran 2007.,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, Razarudin turut memaklumkan tangkapan seramai 19 individu pengurusan tertinggi termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH dalam Op Global di dua residensi mewah di Jalan Imbi, ibu negara, Khamis lalu.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here