Sistem ini juga turut mengambil aspirasi “Kansei”

Oleh: Dr Nik Elyna Myeda Nik Mat & Dr Yong Adilah Shamsul Harumain

NEGARA Jepun bukan sahaja dikenali sebagai negara matahari terbit malah sememangnya telah terkenal dengan bandaraya termaju dengan sistem teknologi dan kejuruteraan yang canggih dan kehadapan. Kemajuan tersebut turut dapat dilihat di dalam persediaan menghadapi pelbagai jenis bencana alam yang sering dihadapi oleh penduduk di Jepun.

Pelbagai bencana alam yang dihadapi oleh penduduk Jepun sejak sekian lama juga menyebabkan penduduk dan kerajaan Jepun sentiasa di dalam keadaan bersedia dan berhati-hati agar kemalangan jiwa dan jumlah yang terkorban dapat dikurangkan. Ini juga bertujuan bagi proses menyelamat menjadi lebih teratur, selesa dan selamat untuk segenap lapisan masyarakat terutamanya golongan tua dan kanak-kanak. Kemajuan sistem persediaan menghadapi pelbagai bencana di Jepun tidak dapat disangkal lagi dan merupakan di antara yang terbaik di dunia.

Persediaan menghadapi bencana meliputi segala aspek kehidupan penduduk di Jepun termasuklah bandar kecil seperti bandar Echizen yang terletak di wilayah Fukui, Jepun walaupun hanya mempunyai populasi dalam 20,000 orang. Persediaan kerajaan tempatan bandar Echizen menghadapi bencana seperti gempa bumi dan tsunami tidak bertumpu kepada tahun-tahun tertentu sahaja malah, persediaan merangkumi aspek latihan staf kerajaan tempatan dan penduduk yang berjadual, pemeriksaan bekalan makanan dan bahan simpanan kecemasan untuk digunakan semasa bencana dan pemeriksaan lokasi
pusat pemindahan sementara secara berkala.

Mesyuarat penyelarasan bersama Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan, Agensi Meteorologi Jepun, Kerajaan Wilayah dan pelbagai agensi kerajaan lain juga diadakan dalam memastikan persediaan menghadapi bencana di tahap yang tertinggi. Kemajuan sistem persediaan menghadapi bencana ini mengambil kira pelbagai aspek dan sentiasa belajar dari kesilapan yang dihadapi di masa lalu.

Berdasarkan pemerhatian, sistem ini juga turut mengambil aspirasi “Kansei” yang sebenarnya berasal dari suatu sistem reka bentuk yang mengambil kira elemen psikologi
kemanusiaan dalam pemikiran. Sebagai contoh, di bandar Echizen, sistem akses bahan keperluan sewaktu bencana telah ditambah baik, berdasarkan kemudahan akses, yang mana kunci stor bahan keperluan semasa bencana tidak lagi dipegang oleh seorang pegawai kerajaan tempatan, tetapi boleh di akses secara terus di stor tersebut dengan menggunakan sistem kunci bernombor kod.

Ini bukan sahaja mempercepatkan akses terhadap bahan makanan tersebut semasa bencana malah mengelakkan masalah seperti kehilangan kunci atau terpaksa menunggu pegawai yang bertanggungjawab untuk tiba ke lokasi stor tersebut. Ternyata, sistem persediaan menghadapi bencana di Echizen, Jepun telah mengambil kira sekecil-kecil tindakan di dalam sistem tersebut sehingga penelitian terhadap proses menyelamat yang lebih besar seperti mengambil kira jumlah populasi penduduk bagi setiap pusat pemindahan, kaedah pemindahan dari suatu tempat ke tempat yang lain serta memastikan terdapat kepelbagaian di dalam kaedah berhubung antara satu sama lain.

Elemen kemanusiaan yang diterapkan di dalam pemikiran dan kaedah sistem ini telah ditambah baik dari masa ke semasa dan sentiasa mengambil kira kemudahan psikologi dan perasaan manusia dalam sistem tersebut. Walaupun bandar Echizen merupakan satu bandar yang kecil, sistem persediaan menghadapi bencana adalah sangat maju dan sentiasa berevolusi ke arah yang lebih baik dari masa ke semasa dan membuktikan bahawa negara Jepun sentiasa kehadapan di dalam persediaan menghadapi bencana dan termasuklah memastikan setiap persediaan tersebut dapat digunakan semasa dan selepas bencana berlaku, sebelum penduduk dapat pulang kembali ke rumah masing-masing dengan selamat.

Malaysia juga boleh menambah baik sistem menghadapi bencana walaupun bencana alam yang menimpa negara tidak seburuk yang dihadapi oleh negara Jepun. Sikap waspada sebelum bahana haruslah dipelajari dan sistem persediaan menghadapi bencana di Malaysia boleh ditambah baik agar kemalangan jiwa dan kesan bencana yang dihadapi mangsa boleh dikurangkan. Persediaan menghadapi bencana seperti banjir dan juga tanah runtuh yang sering berlaku di negara kita adalah di antara contoh bencana yang boleh menggunakan suatu sistem persediaan menghadapi bencana yang lebih baik.

Pusat Pemindahan Sementara bukan sahaja suatu pusat yang mempunyai kapasiti ruang untuk berkumpul, malah satu pusat yang mempunyai kemudahan fasiliti yang mencukupi, selamat dan selesa. Penyediaan satu pusat pemindahan yang cukup, selamat dan selesa ini boleh mengambil kira aspek “Kansei” berdasarkan keperluan penduduk setempat dari segi fungsi dan jenis penggunaan. Sebagai contoh, lokasi pusat pemindahan mengambil kira jenis demografi di kawasan tersebut, jumlah fasiliti tandas yang merangkumi keperluan warga emas dan orang kurang upaya, serta penggunaan bangunan sedia ada yang lebih sesuai untuk setiap kawasan yang menghadapi bencana.

Sesungguhnya, persediaan menghadapi bencana bukan sahaja memerlukan belanjawan malah memerlukan suatu anjakan yang ditambah baik dari masa ke semasa, terutamanya di dalam keadaan perubahan cuaca iklim yang mendadak dan jumlah populasi bandar yang meningkat turut memerlukan suatu persediaan yang holistik.

Dr Nik Elyna Myeda Nik Mat
Dr Yong Adilah Shamsul Harumain

 

Kedua-dua penulis merupakan pensyarah kanan di Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast