Dr. Boo Cheng Hau- Gambar Facebook

KUALA LUMPUR- Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau menggesa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh memohon maaf kepada Teresa Kok secara peribadi dan menyelesaikan perselisihan pendapat dan pertikaian undang-undang secara baik.

Malah, katanya, Akmal juga perlu memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana gagal memahami kebenaran dan menghormati hak Perlembagaan penganut agama lain.

Gesaan itu dibuatnya susulan keputusan Kabinet baru-baru ini yang tidak mewajibkan pensijilan halal kepada semua restoran selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, keputusan Kabinet untuk tidak mewajibkan pensijilan halal bagi restoran bukan menjual daging babi membuktikan kebimbangan Teresa terhadap perkara itu adalah berdasarkan kedaulatan undang-undang dan hak perlembagaan semua rakyat Malaysia.

Selain itu, ujar beliau, pandangan Teresa itu mencerminkan kebimbangan semua pihak termasuk peniaga kecil Melayu dan bukan Melayu yang menghadapi kesukaran ekonomi. .

“Akmal Salleh harus memohon maaf secara mutlak kepada semua rakyat Malaysia atas kegagalannya mengiktiraf kuasa Raja-raja Melayu dalam mentadbir hal ehwal agama dan melindungi kebebasan beragama di negara ini bagi menyelamatkan Barisan Nasional daripada perasaan negatif dalam kalangan pengundi di (PRK DUN) Mahkota yang mungin menjejaskan peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kecil tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Cheng Hau yang mengalu-alukan keputusan Kabinet berkata, semua parti politik dan pemimpin sepatutnya menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi dan kontrak sosial yang menjadi asas negara serta mematuhi proses undang-undang pentadbiran awam. – MalaysiaGazette

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here