Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau.

KLUANG – Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau mendesak Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh memohon maaf kepada Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok dan seluruh rakyat Malaysia berhubung isu pensijilan halal.

Malah, katanya, Akmal juga perlu memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana gagal memahami kebenaran dan menghormati hak Perlembagaan penganut agama lain.

Gesaan itu dibuatnya susulan keputusan Kabinet baru-baru ini yang tidak mewajibkan pensijilan halal kepada semua restoran selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, keputusan Kabinet untuk tidak mewajibkan pensijilan halal bagi restoran bukan menjual daging babi membuktikan kebimbangan Teresa terhadap perkara itu adalah berdasarkan kedaulatan undang-undang dan hak perlembagaan semua rakyat Malaysia.

Selain itu, ujar beliau, pandangan Teresa itu mencerminkan kebimbangan semua pihak termasuk peniaga kecil Melayu dan bukan Melayu yang menghadapi kesukaran ekonomi. .

“Akmal Salleh harus memohon maaf secara mutlak kepada semua rakyat Malaysia atas kegagalannya mengiktiraf kuasa Raja-raja Melayu dalam mentadbir hal ehwal agama dan melindungi kebebasan beragama di negara ini bagi menyelamatkan Barisan Nasional daripada perasaan negatif dalam kalangan pengundi di (PRK DUN) Mahkota yang mungin menjejaskan peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kecil tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut gesaan itu, Cheng Hau menasihati Muhamad Akmal supaya menyelesaikan pertikaian dan konflik undang-undang yang sedang berjalan dengan Teresa secara baik serta mengelakkan daripada menghidupkan semula politik perpecahan.

Cheng Hau yang mengalu-alukan keputusan Kabinet berkata, semua parti politik dan pemimpin sepatutnya menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi dan kontrak sosial yang menjadi asas negara serta mematuhi proses undang-undang pentadbiran awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kenapa Dr Akmal perlu minta maaf. Sepatutnya DAP ya.g perlu mints maaf kerana mencemar semamgat perpadian dan racist.

Comments are closed.