Lim Guan Eng.

BAYAN LEPAS – Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan bantuan banjir RM1,000 kepada mangsa banjir di Pulau Pinang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, ia merupakan permintaan daripada mangsa-mangsa banjir di negeri ini susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan bantuan RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan bencana itu di Kedah.

“Ada satu permintaan kecil daripada mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang… Kalau Perdana Menteri (Anwar) boleh luluskan RM1,000 untuk mangsa-mangsa banjir di Kedah harap boleh luluskan RM1,000 untuk semua keluarga di negeri ini juga,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Pulau Pinang hari ini.

Semalam, Anwar mengumumkan peruntukan RM13 juta sebagai bantuan banjir di Kedah termasuk sumbangan kepada mangsa, pembersihan kawasan terjejas dan pembaikan infrastruktur.

Kata beliau, peruntukan RM10 juta itu adalah sumbangan kepada mangsa terjejas dan kerja-kerja pembersihan di seluruh Kedah, manakala RM3 juta khas untuk pembaikan infrastruktur pasca banjir di daerah Kota Setar.

“Di Kota Setar peruntukan sebanyak RM3 juta, manakala bagi keseluruhan negeri Kedah kita memperuntukkan RM10 juta untuk pastikan selepas banjir sekiranya ada apa-apa kerosakan atau ganti rugi yang munasabah.

“Saya minta Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara), ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri menyelaraskan hal ini supaya disegerakan,” katanya selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here