Abdul Aziz Mohd Yusof

KUALA LUMPUR – Jabatan Mufti Negeri Selangor akan memutuskan keputusan fatwa berhubung kegiatan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dalam persidangnya pada 30 September ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, majlis itu menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung tindakan terhadap GISBH dan rangkaiannya yang terlibat dalam fahaman dan ajaran  menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar dan penglibatan sekolah Islam di Negeri Selangor dalam kesalahan jenayah serta penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam.

Menurut beliau, MAIS mengambil serius berhubung perkara ini dan telah melaksanakan tindakan bersepadu bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap GISBH dan rangkaiannya termasuk memastikan sekolah Islam yang terlibat ditutup dan dibatalkan pendaftarannya sebagai sekolah Islam di Neger Selangor.

“MAIS dan semua agensi hal ehwal Islam Negeri Selangor sama sekali tidak berkompromi dengan GISBH atau rangkaiannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, ia juga memastikan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor membuat keputusan segera bagi hasil kajian dan penelitian terhadap GISBH.

“Perkara ini telah diambil tindakan serius oleh pihak JAIS dan laporan berkaitan akan dibentangkan kepada MAIS dalam Mesyuarat MAIS yang akan diadakan pada 24 September 2024.

“Begitu juga dengan Jabatan Mufti Negeri Selangor berhubung keputusan fatwa yang akan bersidang pada 30 September 2024 bagi memutuskan persoalan berkaitan GISBH,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here