Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU – Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan memutuskan sama ada untuk menggantung atau membatalkan lesen perniagaan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang difahamkan berlangsung di Terengganu dalam masa terdekat.

“Sekarang masih dalam tempoh pendakwaan untuk kes-kes tertentu, jadi kita kena teliti dengan lebih lanjut dan pihak berkuasa tempatan pun akan ambil tindakan mengikut pewartaan oleh muzakarah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Dialog Awam Mahasiswa Persatuan Mahasiswa Terengganu (PERMATA) Kebangsaan di sini hari ini.

Ditanya situasi semasa di Terengganu membabitkan GISBH, Ahmad Samsuri berkata keadaan masih terkawal dan hanya kesan minimum yang wujud.

“Walaupun belum tutup sepenuhnya tetapi kita dapat lihat sudah tiada orang pergi membeli atau menikmati makanan di premis-premis mereka. Kita biarkan di situ dulu hingga ada keputusan rasmi.

“Kami tiada maklumat bilangan pengikut atau premis GISBH di Terengganu. Kami serahkan siasatan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia sebab dimaklumkan siasatan telah lama dijalankan sebelum ini,” katanya. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here