Datuk Razihan Adzharuddin

KUANTAN- Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memantau operasi premis milik Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) di daerah itu.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Razihan Adzharuddin berkata, pihaknya mempunyai kuasa untuk memeriksa sekiranya premis terbabit ada aduan mengeksplotasikan kanak-kanak seperti didakwa berlaku di beberapa negeri lain.

Namun sehingga setakat ini, tiada serbuan dilakukan di mana-mana premis kegiatan GISBH, katanya.

“Kita ada kuasa untuk memeriksa, kalau ia bukan bidang kuasa kita akan buat pemeriksaan secara bersepadu dengan mana-mana agensi kerajaan.

“Tapi setakat ini, semua premis GISBH di Kuantan mematuhi peraturan dan masih berniaga seperti biasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penganugerahan Malaysia Book Of Record: Longest Coastal Clean Up, di Pusat Rekreasi Air, Balok di sini hari ini.

Difahamkan sebanyak enam premis di bawah GISBH tertakluk di bawah pelesenan MBK daripada 17,000 pelesen di daerah ini.

Dalam perkembangan sama, tiada sebarang makluman rasmi diterima oleh MBK berhubung kegiatan GISBH di sini dan perkara itu masih dalam siasatan oleh pihak berkuasa peringkat Persekutuan.

“Kita belum terima apa-apa makluman, sebenarnya kegiatan GISBH biarlah disiasat di peringkat Persekutuan. Kalau ada arahan kita akan ikut, Insya-Allah buat masa ini, belum terima dari pihak polis atau daripada kementerian atau pun kerajaan negeri,” katanya.

Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pihaknya memantau GISBH yang disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak menerusi Op Global.

Susulan itu Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada 18 September lalu bertitah agar kerajaan memastikan tiada kes manipulasi agama dan penderaan kanak-kanak berlaku di Pahang. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here