Tinjauan isu masalah parking di sekitar Bandar Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Pertambahan penduduk dan masalah kekurangan tempat letak kenderaan terus menjadi kegusaran dalam kalangan penduduk dan orang awam di ibu kota.

Isu yang seakan tidak ada penghujungnya itu menimbulkan ketidakselesaan.

Masalah kenderaan yang dipakir sesuka hati seperti double park di tepi jalan dan hentian bas sehingga menghalang kenderaan lain bukan masalah baharu di ibu negara.

Hasil tinjauan MalaysiaGazette sekitar Bandar Sri Permaisuri mendapati sebahagian penduduk terpaksa meletakkan kenderaan di jalan utama di luar kawasan kediaman menjadikan laluan dua lorong sempit dan hanyasatu lorong sahaja boleh digunakan. 

Keadaan parkir kenderaan sekitar Bandar Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 SEPTEMBER 2024.

Itu belum dikira kenderaan lama yang ‘tersadai’ dan dipenuhi dengan notis saman yang menyakitkan mata.

Seorang peniaga di Pusat Penjaja Bandar Sri Permaisuri, Zolkhoari Abdul Aziz, 52, berkata, masalah utama yang dihadapinya di kawasannya adalah kekurangan parkir kenderaan yang mendesak.

Lebih memburukkan keadaan, ada segelintir penduduk di sekitar kawasan perumahan berhampiran pusat penjaja mengambil peluang dengan meletakkan kenderaan mereka di kawasan parkir yang sepatutnya dikhaskan untuk pelanggan pusat penjaja itu.

Zolkhoari Abdul Aziz. Foto MOHD ADZLAN, 22 SEPTEMBER 2024.

“Kita ada buat perbincangan dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cuma tengah tunggu kelulusan. Masalah ini berlaku sejak tapak ini dibina dan masih berlarutan sehingga kini,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Umi Kalsum Zakaria, 39, turut mengakui masalah yang sama dihadapinya sejak bertahun lalu sehingga menyukarkan pelanggannya untuk datang ke premisnya.

Umi Kalsum Zakaria.

“Kalau boleh, kami sebagai peniaga minta DBKL buat macam tempat lain, parking berbayar. Jadi kalau lepas 12 malam, orang tak masuk dah,” jelasnya.

Sementara itu, Hasmiza Abu Hassan, 46, yang merupakan pelanggan di gerai penjaja tersebut berkata, memang sukar untuknya mencari tempat letak kenderaan setiap kali berkunjung ke situ dan terpaksa mencari parkir yang terletak agak jauh.

Hasmiza Abu Hassan.

Selain itu, penghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar kawasan Bandar Sri Permasuri, Roziah Yusof, 64, mengakui ada ketikanya dia terpaksa meletakkan keretanya jauh dari rumah kerana parkir di dalam kawasan penempatan selalu penuh.

“Parkir dalam (kawasan flat) memang penuh. Selalu berlapis-lapis. Kadang-kadang pagi-pagi tengok orang nak pergi sekolah kena tolak kereta, baru boleh keluar.

Roziah Yusof.

“Dulu, ada pihak atasan janji nak buat kawasan letak kereta tambahan tapi sampai sekarang tiada tindakan,” ujarnya.

Oleh itu, rata-rata mereka mahu pihak berkuasa  mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah itu termasuk mempertimbangkan pembinaan lebih banyak kawasan parkir dan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap kenderaan yang diparkir secara haram.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here