32 ‘mat rempit termasuk remaja 15 tahun dibawa ke surau untuk solat subuh berjemaah serta mendengar tazkirah selepas ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di sekitar ibu negara, awal pagi tadi. Foto Ihsan JSPT KL

KUALA LUMPUR – Seramai 32 ‘mat rempit’ termasuk remaja disuruh ke surau untuk solat subuh berjemaah serta  mendengar tazkirah selepas ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di sekitar ibu negara awal pagi Ahad.

Menerusi operasi itu, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 15 hingga 25 tahun telah dibawa ke Balai Polis Trafik di sini bagi tujuan dokumentasi atas pelbagai kesalahan dan dikenakan tindakan.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, mereka juga dibawa ke surau dan diminta menghadiri Program Muhasabah Diri Bersama Mat Rempit di Surau An Nazahah, JSPT KL.

“Program yang bersifat keagamaan dan ilmiah  diharap akan memberikan kesedaran kepada pesalah-pesalah trafik yang ditahan sekitar Jalan Tun Razak awal pagi tadi.

“Antara pengisian program seperti solat subuh berjemaah dan tazkirah yang memberi fokus ke arah kesedaran tentang keburukan merempit dan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain telah disampaikan oleh Inspektor Zambri dari Unit  Penguatkuasa JSPT KL,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua pesalah trafik yang ditahan berusia lingkungan 15 hingga 25 tahun telah dibawa ke Balai Polis Trafik bagi tujuan dokumentasi atas pelbagai kesalahan dan dikenakan tindakan. Foto Ihsan JSPT KL

Tambah Mohd Zamzuri, kesemua yang ditahan juga diajar mengambil air wuduk, solat,  laungan azan serta iqamat.

“Pendekatan secara keagamaan dan ilmiah kepada remaja diharapkan dapat membantu remaja warisan negara ini untuk menunjukkan akhlak mulia kepada masyarakat.

“Ibu bapa juga disarankan agar lebih prihatin dalam mendidik anak-anak dan menjadikan mereka rakan untuk berkongsi pengalaman dan masalah yang mereka hadapi.

“Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan fokus mereka terhadap aktiviti yang melanggar undang-undang jenayah atau lalu lintas,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan, sebanyak 157 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi itu dijalankan antaranya tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran dan ubah suai motosikal. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here