Nur Zafirah Abdul Halim (kanan) menunjukkan gambar anak bongsu yang telah meninggal dunia lebih 8 bulan lalu ketika bawah jagaan taska.

KUANTAN – Seorang ibu, Nur Zafirah Abd Halim, kesal dan sedih kerana kematian anaknya, Muhammad Zahin Zulqarnain Muhammad Zahid, lima bulan di sebuah taska di sini pada 31 Januari lalu masih belum mendapat pembelaan sewajarnya.

Mengakui masih trauma dengan kematian anaknya itu, Nur Zafirah, 32, berkata, walaupun sudah lapan bulan berlalu, sehingga kini dia tidak tahu apa status siasatan ke atas kematian anaknya yang disahkan lemas di Taska Alkautsar Eduqids, Indera Mahkota 7 di sini pada 31 Januari lalu.

Katanya, sehingga hari ini, dia dan suaminya hanya mampu memendam rasa, selain menantikan keajaiban untuk menuntut keadilan terhadap kematian anaknya yang disifatkan satu penganiayaan buat mangsa dan beliau keluarganya.

“Kes ini seolah-olah didiamkan tanpa bicara.

“”Sampai sekarang tiada perkembangan sama ada daripada pegawai penyiasat polis ataupun pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kami masih tertanya-tanya apa status kes kami. Adakah pihak berkenaan terlepas begitu sahaja tanpa pendakwaan?,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menceritakan detik-detik semasa meninggalkan anak bongsunya di taska tersebut, Nur Zafirah berkata, dia menghantar mangsa jam 7 pagi dan kemudian mendapati ada panggilan yang tidak dijawab daripada pengetua taska yang memintanya pergi ke Hospital UIA (SASMEC).

“Saya gelabah bila dimaklumkan keadaan anak saya kritikal masa itu dan setibanya hospital, saya tidak dibenarkan masuk. Masa itu naluri ibu rasa anak sudah tak ada,” katanya.

Nur Zafirah berkata, dia yakin Allahyarham dalam keadaan sihat sebelum dihantar ke taska pagi itu.

Bahkan, sejak dilahirkan dia tidak pernah didiagnos sebarang penyakit atau masalah kesihatan lain, ujarnya yang memaklumkan anak bongsunya itu dihantar ke taska yang sama dengan kakaknya yang berusia tiga tahun selepas habis berpantang sekitar November tahun lalu.

Nur Zafirah yang bekerja di sebuah badan berkanun di negeri ini berkata, sehingga ke saat ini dia tidak dapat membayangkan saat-saat akhir ketika Muhammad bertarung nyawa akibat lemas.

Ini kerana berdasarkan rakaman litar tertutup (CCTV) yang diberikan kepadanya, anaknya dibedung dan dibiarkan dalam sebuah bilik gelap tanpa penjaga dalam tempoh lebih sejam.

“Dalam CCTV memang nampak pengurusan taska tinggalkan anak saya lama. Anak duduk dengan tiga lagi dalam bilik gelap bertutup dan tiada seorang pengasuh pun.

“Anak saya dibedungkan atas alasan anak macam ada ruam dekat muka sebab nak elak daripada garu. Dalam rakaman tunjuk anak gerak dalam keadaan berbedung dan gerak-gerak sampai tertiarap pusing dan tersangkut,” tambahnya.

Mengimbau kenangan bersama-sama anaknya itu, Nur Zafirah berkata, Muhammad Zahin seorang anak yang ceria, lantaran itu kematiannya membawa semua kegembiraan dia sekeluarga.

“Hanya ziarah pusara Muhammad Zahin bagi mengubat rindu tapi jiwa saya masih meronta kerana kehilangan anak bongsu,” ujar beliau.

Susulan kematian Muhammad Zahin, ibu ini berkata, dia trauma dan tidak lagi percaya kepada pengasuh untuk menjaga satu-satu anaknya yang ada sekarang.

Buat masa ini, kakak Muhammad Zahin diletakkan di bawah jagaan kedua-dua orang tuanya dan mertua sahaja.

”Saya masih bekerja sekarang tapi berhasrat berhenti kerja untuk jaga anak sulung. Dah tak ada rasa dan masih trauma dengan kehilangan Muhammad Zahin.

”Sampai bila boleh minta tolong orang tua kita, kasihan mereka jadi kena jaga sendiri. Dan saya tidak berani menghantar anak ke mana-mana pusat jagaan atau pengasuh lain.

“Saya tak berani lagi kerana sampai hari ini terkenang semasa menghantar Zahin dia sihat tapi bila petang dah tidak bernyawa,” katanya sambil menitiskan air mata.

Sambil menyeka air matanya, Nur Zahirah berkata, sejak kematian Muhammad Zahin, tidurnya tidak lena, bukan kerana menidakkan takdir tetapi penganiyaan terhadap anaknya terlalu berat.

“Saya ibarat meraung dalam diam kerana tidak kematiannya tidak diadili sewajarnya.

“Saya berharap sangat tindakan segera diambil ke atas kematian anak saya,” katanya sambil menyeru kerajaan mengenakan syarat yang ketat dalam pengoperasian sesebuah taska bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast