Ahmad Zahid bersama-sama pelajar tahfiz dalam Majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Kemas Negeri Johor Tahun 2024 di Prime City Hotel, Kluang hari ini.

KLUANG – Agama Islam tidak seharusnya dijadikan tunggangan untuk individu, parti atau mana-mana organisasi dalam mencari keuntungan peribadi atau politik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia termasuk mereka yang digelar ulamak dan menjadikan Islam sebagai alat untuk mencapai hasrat dan cita-cita.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan, Islam perlu dijaga dan tanggungjawab memelihara serta mengimarahkannya adalah peranan semua pihak.

“Soal agama bukan milik parti politik, soal agama bukan milik individu dan soal mengimarahkan agama bukan milik mana-mana organisasi, ia tanggungjawab pemimpin dan umah keseluruhannya.

“Dalam hal agama kita harus ‘buta warna’ dan soal agama ini bukan milik seseorang,” katanya ketika berucap Majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Kemas Negeri Johor Tahun 2024 di Prime City Hotel di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid  tidak menghormati sebesar mana pun ilmu seseorang dan ulamak sekiranya digunakan untuk menyesatkan serta menunggang agama.

“Saya tak hormat orang seperti itu, betulkan situasi itu daripada terus berlaku,” ujar beliau lagi.

Beliau memberi kiasan, sekiranya seseorang ulamak memandu kereta api tetapi melencong ke destinasi lain dan bukan ke tempat ditetapkan, ia perlu ditegur atau ditolak.

Sementara itu, Presiden UMNO itu berharap kepimpinan tertinggi Johor seperti Mohd Fared perlu membantu calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah sekiranya menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota nanti.

Jelasnya, Syed Hussien perlu dibimbing sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baik dalam berkhidmat untuk masyarakat di Kluang dan Johor.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

BN meletakkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here