NEW DELHI – Universiti-universiti terkemuka Malaysia mempamerkan pelbagai program akademik di tiga bandar utama Pakistan untuk menarik lebih ramai pelajar dari negara terbabit.

Pameran Pengajian di Malaysia berlangsung dari 14 hingga 22 Sept menekankan pelbagai kelebihan melanjutkan pelajaran di universiti-universiti Malaysia yang menawarkan pendidikan berkualiti di samping kos sara hidup berpatutan serta dalam persekitaran pembelajaran yang berbilang budaya.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Mohammad Azhar memuji usaha Education Malaysia Global Services (EMGS) kerana menganjurkan pameran pendidikan yang diadakan di bandar Karachi, Islamabad dan Lahore.

“Semasa pameran itu, pengunjung berpeluang berinteraksi secara langsung dengan wakil-wakil universiti, mendapatkan maklumat penting mengenai kursus dan program yang ditawarkan, syarat kemasukan serta kehidupan pelajar yang dinamik di Malaysia.

“Seminar dan bengkel turut diadakan, merangkumi topik seperti biasiswa, prosedur visa, dan prospek kerjaya bagi pelajar di Malaysia,” kata Suruhanjaya Tinggi Malaysia menerusi laman Facebook mereka.

Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Kuala Lumpur, Universiti UCSI, Universiti Cyberjaya, Universiti Tunku Abdul Rahman, Asia Pacific University of Technology and Innovation, Universiti Multimedia, dan Universiti INCEIF turut menyertai pameran ini.

Sehingga Disember 2023, lebih 5,000 pelajar dari Pakistan mendaftar di institusi pendidikan awam dan swasta di Malaysia. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here