Aksi Mat Rempit yang dirakam dalam Op Samseng Jalanan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Perak bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Jalan Klebang Ria, Ipoh.

IPOH – Cuti persekolahan yang berakhir semalam sepatutnya dimanfaatkan dengan aktiviti berfaedah, namun menjadi pengajaran berharga kepada 69 pelajar sekolah apabila menjadi antara 136 yang ditahan polis dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Klebang Ria, petang semalam.

Operasi secara bersepadu Polis Diraja Malaysia Kontinjen Perak bersama beberapa agensi seperti Jabatan Alam Sekitar dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), bermula 6.30 petang semalam sehingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata dalam operasi tersebut, pihaknya menahan 130 lelaki dan enam wanita berusia antara 12 hingga 45 tahun, dipercayai terbabit dalam aktiviti lumba haram dan menyaksikan perlumbaan tersebut.

“Pihak kami bertindak atas aduan orang ramai selepas mendapat maklumat terdapat gangguan ketenteraman awam di kawasan Klebang Perak dan berlakunya kes melanggar undang-undang lalu lintas.

“Suspek yang berlumba haram ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan dan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan di Balai Polis Kampung Tawas di sini, awal pagi tadi.

Penunggang yang ditahan diarah menolak motosikal masing-masing.

Azizi berkata, kesemua yang ditahan itu telah menjalani ujian saringan air kencing dan dua individu bukan pelajar didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Beliau berkata, polis juga telah mengeluarkan sebanyak 168 saman atas pelbagai kesalahan antara yang tertinggi ialah tiada lesen (40), tiada cermin sisi (29) dan kesalahan nombor pendaftaran kenderaan (22), dan menyita sejumlah 20 buah motosikal.

Azizi berkata, terdapat trend yang penonton menyaksikan perlumbaan haram membawa anak, isteri dan keluarga untuk menyaksikan perbuatan tidak berfaedah itu dan mengganggu ketenteraman awam.

Sebahagian remaja yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Klebang Ria, Ipoh.

“Kebanyakan yang ditahan ialah penonton, ada yang berusia 12 tahun.

“Kita ingin menasihatkan bahawa semua jalan raya di negeri Perak, laluan yang dipantau polis, saya tidak gemar apabila melihat aksi yang ditonjolkan penunggang tidak beradab, tidak patuh peraturan lalu lintas,” katanya.

Azizi berkata dalam operasi itu juga, seorang anggota polis berpangkat koperal mengalami kecederaan ringan pada tangan, selepas motosikal miliknya dilanggar penunggang motosikal dalam operasi tersebut.

“Keadaan anggota itu baik dan hanya mengalami kecederaan ringan sahaja,” katanya. – BERNAMA

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here