Mohamad Syafiq (tengah) menunjukkan kenyataan rasmi Armada Bersatu Johor dalam sidang akhbar akhbar di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dorset, Kampung Bentong Luar, Kluang, hari ini.

KLUANG – Barisan Nasional (BN) didakwa berbelanja besar dan mewah dalam kempen Pillihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada Bersatu) Johor, Mohamad Syafiq Mohd Khairul Sam berkata, kerajaan juga mempergunakan pelbagai agensi dan jabatan untuk berkempen.

“Kerajaan negeri dan Persekutuan melalui pelbagai agensi telah hadir ke Mahkota dengan pelbagai program-program yang sudah tentunya melibatkan satu jumlah perbelanjaan yang besar.

“Namun kempen mewah dengan perbelanjaan besar itu tidak akan dapat menyelesaikan permasalahan-permasalahan harian yang dihadapi oleh rakyat Mahkota,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dorset, Kampung Bentong Luar di sini hari ini.

Mohamad Syafiq berkata, antara isu yang masih membebani penduduk DUN Mahkota ialah isu banjir yang sudah berlarutan sehingga kini.BN

Beliau memberitahu, terdapat hampir 2,000 mangsa banjir di dearah ini dan majoriti daripadanya datang dari DUN Mahkota.

Justeru, katanya, sudah sampai masanya pengundi DUN Mahkota menggunakan kesempatan PRK tersebut untuk menyatakan referendum rakyat terhadap kegagalan kerajaan negeri.

Dakwanya, kerajaan Johor bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak mampu menyelesaikan permasalahan-permasalahan melibatkan infrastruktur rakyat.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

PN mempertaruhkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61, manakala BN meletakkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here