Tengku Zafrul bertemu peniaga semasa melakukan walkabout sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu II, Kluang, hari ini.

KLUANG – Kerajaan yakin mampu mencapai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih lima peratus tahun ini berbanding sasaran awal 4-5 peratus.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata unjuran itu bersandarkan prestasi perdagangan negara bagi lapan bulan pertama tahun ini yang mencatatkan jumlah tertinggi.

Dari Januari hingga Ogos tahun ini, Malaysia merekodkan jumlah perdagangan RM1.095 trilion, melonjak 10.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jelasnya, prestasi positif itu disokong peningkatan eksport sektor elektrik dan elektronik terutamanya semikonduktor sebanyak 40 peratus.

“Kita sebenarnya menyasarkan pertumbuhan lima peratus kerana kita lihat ada ‘coordination’ lah dengan pertumbuhan KDNK kita.

“Pertumbuhan KDNK kita pada suku kedua pun dah kuat (iaitu) 5.9 peratus dan baru-baru ini seperti kita lihat pertumbuhan ekonomi yang kita sasarkan empat hingga lima peratus insya Allah dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan walkabout sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu II di sini hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, pihaknya masih dalam perbincangan dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk mengkaji semula sasaran KDNK lebih lima peratus itu.

“Kita tunggu suku ketiga (tahun ini) dan lihat bagaimana sama ada kita nak mengkaji sasaran yang kita sebut lima peratus itu,” katanya.

Katanya, eksport negara naik enam peratus kepada RM991.36 bilion manakala import sebanyak RM913.18 bilion menghasilkan lebihan dagangan bernilai RM78.17 bilion.

“Pengoperasian kilang-kilang baharu dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini turut membantu pertumbuhan ekonomi berkenaan menerusi penghasilan pelbagai produk eksport yang bernilai dan berkualiti tinggi,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast