Mahkamah Majistret Putrajaya mengeluarkan reman kepada lelaki Bangladesh yang menjadi ejen sindiket counter setting.

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat warga Bangladesh yang memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa bagi membawa masuk asing menerusi pintu masuk negara melalui ‘counter setting’ direman hari ini.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek direman selama dua hari sehingga 24 September 2024 selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Suspek telah ditahan dalam satu operasi yang dijalankan oleh SPRM sekitar Lembah Klang pada jam 8 malam semalam.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an dipercayai memberi rasuah kira-kira RM200 hingga RM25,000 kepada pegawai penguat kuasa sebagai balasan melindungi, memudahkan urusan dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas warga asing yang tidak memenuhi syarat serta tidak mengikut prosedur yang sah.

Pengarah syarikat warga Bangladesh ditahan semalam dan direman selama dua hari mulai hari ini.

“Penahanan tersebut adalah susulan tangkapan yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Suspek ini dipercayai bertindak sebagai seorang ejen serta menjadi orang tengah dan telah melakukan kesalahan tersebut di antara tahun 2022 hingga 2024.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here