KUALA LUMPUR – Pusat beli belah terkemuka negara, IOI City Mall sedang mencari imam sepenuh masa bagi memimpin solat jemaah di surau baharunya.

Peluang pekerjaan itu ditawarkan melalui platform mencari kerja iaitu Jobstreet kepada mereka yang berminat dan mempunyai kelayakan untuk memimpin solat jemaah.

“Antara tugasan yang perlu dilaksanakan oleh imam yang terpilih nanti termasuk memimpin solat fardhu lima waktu, solat sunat terawih, solat sunat Aidil Fitri dan juga solat Jumaat.

“Selain itu, imam juga perlu membacakan khutbah yang berinspiratif kepada jemaah setiap kali solat Jumaat diadakan,” Menurut IOI City mengenai tugas kerja jawatan itu yang tular di media sosial.

IOI City Mall merupakan pusat beli-belah terpanjang di negara  memerlukan imam yang mampu menguruskan program pendidikan agama termasuk kelas al-Quran dan pengajian Islam selain menawarkan kaunseling rohani dan emosi kepada masyarakat mengenai pelbagai perkara peribadi dan agama.

“Tugasan lain yang perlu dilakukan oleh imam yang terpilih juga perlu menjalankan perkhidmatan pengebumian dan memberi sokongan kepada keluarga yang kehilangan.

“Selain itu, imam tersebut perlu bekerjasama dengan lembaga atau jawatankuasa masjid mengenai perancangan strategik dan pengurusan masjid operasi.

“Pada masa sama, imam juga akan mengawasi pengurusan dan kemudahan surau lain dan memastikannya diselenggara dengan baik selain sebagai wakil masjid di media dan di majlis-majlis awam,” katanya.

Sementara itu, surau baharu IOI City Mall telah mengadakan solat Jumaat pertama pada 6 September lalu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here