Logo Agensi Antidadah Kebangsaaan (AADK) di Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 05 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA- Siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati berlaku kesalahan tatatertib dalam pengendalian kes dadah melibatkan seorang bekas ketua unit di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sik, Kedah.

EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bekas ketua unit berkenaan dikatakan melindungi individu yang telah disahkan positif dadah dan gagal mengemas kini buku rekod penghantaran sampel urin Orang Yang Disiasat (OYDS).

“Siasatan sepenuhnya telah dijalankan terhadap aduan kes berkenaan mengikut Subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700),” menurut EAIC.

Kesalahan tatatertib yang dilakukan termasuk gagal mengendalikan keputusan saringan air kencing OYDS yang telah disahkan positif dadah jenis methamphetamine/amphetamine sehingga menyebabkan berlakunya kelengahan selama hampir setahun enam bulan untuk menyerahkan keputusan saringan air kencing terbabit kepada pihak majikan OYDS.

Menurut EAIC, bekas ketua unit itu juga gagal memastikan buku rekod penghantaran sampel urin OYDS berada dalam keadaan teratur sepanjang dia bertugas di AADK Sik manakala dua pembantu antidadah di pejabat sama yang ditugaskan menghantar dan mengambil sampel air kencing OYDS didapati telah gagal mengemas kini buku itu dengan teratur.

Oleh itu, EAIC melalui Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 8/2024 bertarikh 10 Sept 2024 mengesyorkan beberapa hukuman terhadap bekas ketua unit itu termasuk menangguhkan pergerakan gaji selama enam bulan kerana cuai dan tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan satu tindakan yang adil tidak dapat diambil terhadap OYDS oleh majikannya.

EAIC turut mengesyorkan hukuman berbentuk amaran terhadap individu berkenaan kerana gagal memastikan buku rekod berada dalam keadaan teratur dan dua pembantu antidadah turut disyorkan agar diberi amaran kerana gagal mengemas kini buku rekod dengan sewajarnya.

“Perkara itu telah dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) AADK untuk tindakan selanjutnya,” menurut EAIC.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here