Polis menafikan penemuan mayat lelaki tanpa pakaian di Klebang yang kononnya mangsa bunuh sejak semalam.

MELAKA – Polis menafikan penemuan mayat lelaki tanpa pakaian di Klebang yang kononnya didakwa mangsa bunuh sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebaliknya kematian lelaki tempatan berusia 71 tahun itu diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) akibat serangan jantung.

Menurutnya, polis menerima laporan kejadian kira-kira pukul 6.20 petang 18 September lalu mengenai seorang lelaki tidak sedarkan diri di kawasan tanah lapang tepi Pantai Eye On Melaka.

“Hasil pemeriksaan pada tubuh badan si mati dan kawasan sekitar mendapati tiada unsur perbuatan jenayah.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan sebarang berita palsu yang boleh menimbulkan ketakutan dan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sejak semalam, tular klip video berdurasi 14 saat oleh seorang lelaki mendakwa berlaku kejadian bunuh melibatkan mangsa lelaki di kawasan berpasir tambak laut itu.

Dakwaan video yang turut menunjukkan anggota polis tiba di lokasi penemuan mayat itu mengundang pelbagai reaksi orang ramai sehingga takut untuk ke kawasan tumpuan kaki pancing itu. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here