KLUANG – Pengundi kaum India bakal melakukan kejutan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Sabtu ini, dengan memilih calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S. P. Punithan berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan baik dan mesra daripada masyarakat India terhadap Mohamad Haizan dalam setiap program kempen calon PN berkenaan bersama komuniti India.
Apatah lagi, ujar beliau, ramai masyarakat India khususnya golongan muda sudah mengenali Mohamad Haizan yang lebih popular dengan jolokan ‘Coach Haizan’ memandangkan beliau merupakan jurulatih bola sepak kepada beberapa buah kelab kaum India sama ada di DUN Mahkota atau di sekitar Johor.
“Sebenarnya ‘Coach Haizan’ memang rapat dengan dengan masyarakat India sebab beliau pernah bermain dan menjadi jurulatih untuk pasukan bola sepak seperti Johor Indian dan Kluang Indian.
“Malah, beliau juga menjadi jurulatih secara sukarela tanpa mengenakan apa-apa bayaran yang menyebabkan hubungan dengan orang India khususnya golongan muda itu sangat rapat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas bersama-sama Mohamad Haizan menyaksikan perlawanan persahabatan bola sepak antara kelab India tempatan di Stadium Kluang, di sini, petang semalam.
Menurut Punithan, sambutan dan interaksi baik yang ditunjukkan masyarakat India itu membuktikan Mohamad Haizan mampu diterima pengundi pelbagai kaum di DUN Mahkota.
“Memang kita (PN) rasa boleh melakukan kejutan besar pada PRK DUN Mahkota ini bukan sahaja dalam kalangan orang India, malah pengundi-pengundi kaum lain juga akan memberikan sokongan kepada Mohamad Haizan,” ujarnya.
Sementara itu, Mohamad Haizan turut mengakui berasa selesa bersama-sama masyarakat India yang mana sebahagian besar komuniti itu sudah mengenali beliau khususnya selepas sama-sama terlibat dengan golongan belia India dalam sukan bola sepak.
“Kebanyakan pemain bola sepak India ini juga sebenarnya anak murid saya ketika saya menjadi jurulatih bola sepak kelab Kluang Indian dan Johor Indian.
“Jadi hubungan antara saya dengan masyarakat India khususnya pemain-pemain bola sepak dari kedua-dua kelab ini sudah terjalin lama,” katanya. – MalaysiaGazette