Ku Li (tengah) bersama-sama Syed Hussien tiba dalam program sembang santai bersama Gabungan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Kluang, di PDM Kampung Melayu 1, Kluang, semalam.

KLUANG – Baraisan Nasional (BN) berdepan serangan yang hebat dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bagaimanapun berkata, BN dilihat mampu mengekalkan kerusi DUN Mahkota meskipun berdepan cabaran serangan tersebut.

“Kita mempunyai harapan baik di sini (Mahkota). Tinggal lagi di mana-mana kita pergi usaha dijalankan oleh pihak-pihak yang tak suka kepada kita ialah dengan bertindak memecah-belahkan orang Melayu.

“Maka disebabkan itu, kita UMNO menghadapi masalah tapi bukan masalah yang besar ia masalah yang dilakukan oleh mereka yang tak suka melihat orang Melayu bersatu.

“Jadi kita kena lawanlah usaha yang jahat ini oleh pihak yang sengaja guna kesempatan ini untuk melemahkan kita orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam program sembang santai bersama Gabungan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Kluang, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu 1, di sini, lewat petang semalam.

PRK DUN Mahota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here