KUALA NERUS – Pelajar baharu bagi Sarjana Muda Teknologi Alam Sekitar, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan yang diberikan universiti ini.
“Terima kasih tidak terhingga buat pengurusan UMT atas sokongan serta bantuan yang diberikan untuk saya lebih bersemangat meneruskan perjuangan di universiti demi mengubah nasib keluarga,” katanya.
Hanisah merupakan antara penerima manfaat Program Bingkas Kasih UMT melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA).
Hanisah yang memiliki ahli keluarga yang besar dan menetap di ibu negara berkata, faktor itu secara tidak langsung menyebabkan keluarganya menghadapi cabaran kewangan serius.
“Ditambah pula kedua-dua ibu bapa saya sudah lanjut usia dan tidak bekerja selain tiga adik-beradik masih bersekolah turut memberi tekanan buat kami sekeluarga,” ujarnya.
Inisiatif murni ini diwujudkan oleh UMT bagi membantu para pelajar baharu daripada kategori B40 dalam merealisasikan impian mereka untuk melanjutkan pengajian di peringkat universiti.
Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, Bingkas Kasih bukan sahaja menawarkan bantuan kewangan tetapi turut memberi sokongan moral kepada pelajar yang memerlukan.
Sokongan ini hadir melalui pelbagai bantuan seperti biasiswa, Bantuan Dana Siswa serta Bantuan Khas Sara Hidup yang telah lama menjadi amalan di UMT.
Program Bingkas Kasih itu seiring dengan inisiatif Yayasan Perkasa Siswa yang telah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi awal September lalu.
Dr Mohd Zamri berkata, UMT terus mengekalkan reputasinya sebagai institusi penyelidikan yang unggul di Pantai Timur di samping mengutamakan aspek kebajikan dan kecemerlangan pelajar bukan sahaja membangunkan minda pelajar melalui akademik tetapi juga membantu mereka untuk menghadapi cabaran kehidupan seharian.
Secara tidak langsung, ia menjadikan UMT bukan sekadar universiti, tetapi juga institusi ya ng komited terhadap pembentukan masa depan anak bangsa terutama dari kalangan mereka yang kurang bernasib baik. – MalaysiaGazette