Tuan Ibrahim ketika berucap dalam ceramah kelompok di Balai Islam Haji Omar Jani, Taman Iiham, Kluang, malam tadi

KLUANG – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan syarat-syarat dalam Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang tidak munasabah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, atas sebab itu ahli Parlimen pembangkang menolak MoU tersebut kerana ia berat sebelah.

Beliau sehingga kini kekal dengan pendirian menolak MoU tersebut.

“Keputusan ini diambil kerana MoU tersebut tidak munasabah kerana ia menekan serta seolah-olah menyekat kebebasan ahli Parlimen untuk bersuara.

“Kita sudah baca semuanya, MoU apa sampai empat lima muka surat? Syaratnya pun langsung tidak munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah kelompok Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Baru di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Anwar sebagai Perdana Menteri perlu mengagihkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang secara adil.

“Dia kena tunai, tak boleh dakwa esok bila banjir saya (Anwar) juga yang kena pergi (turun). Dulu sewaktu menjadi pembangkang, beliau selalu desak Perdana Menteri ketika itu berundur atau letak jawatan.

“Dalam soal banjir pula, sebagai Perdana Menteri bila berlaku bencana itu dalam negara, memanglah kerajaan Persekutuan kena turun. Banjir ini bukan kira parti politik, itu tanggungjawab jangan rasa tanggungjawab itu sebagai satu bebanan malah dilaksanakan,” katanya.

Khamis lalu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata,  pembangkang boleh mengemukakan cadangan baharu atau maklum balas mengenai draf MoU berkenaan selepas mereka menolaknya.

Fadillah berkata, draf sedia ada boleh menjadi asas kepada perbincangan dan turut menjelaskan sehingga hari ini, pihaknya belum lagi dihubungi pihak pembangkang bagi meneruskan perbincangan berkaitan MoU itu.

Pada 16 September lalu, Kerajaan Perpaduan mendedahkan dua draf MoU yang dirangka bersama-sama sebagai bukti ketelusan dalam perundingan mengenai peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang.

Fadillah berkata, keputusan itu dibuat susulan kenyataan Hamzah yang juga Ketua Pembangkang bahawa Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan MoU berkenaan.

Rabu lalu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan diminta menyediakan draf MoU baharu selain menubuhkan jawatankuasa khusus bagi membincangkan mengenai MoU antara kerajaan dan pembangkang.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here