MELAKA – Ketua Penolong Pengarah di Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan tiga pegawainya dikenakan tindakan tatatertib termasuk dipecat susulan kesilapan menggunakan gambar Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam paparan video khutbah Jumaat lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan tegas memecat dan menukar antara jabatan dan daerah itu diambil selepas siasatan dilakukan.
“Bagi pihak JAIM, kami mohon maaf atas kesilapan pegawai-pegawai yang laksanakan proses tayangan slaid khutbah itu yang tidak sepatutnya berlaku dan mereka juga mengakui kecuaian itu.
“Tindakan tatatertib dikenakan kepada semua yang terlibat termasuk ketua penolong pengarahnya, ada yang diberhentikan selain yang ditukarkan antara jabatan atau daerah.
“Penggunaan tokoh politik dalam khutbah Jumaat ini kesilapan yang tak sepatutnya berlaku jadi saya terpaksa ambil tindakan yang keras dan tegas,” katanya di sini hari ini.
Khutbah Jumaat lalu mencetuskan kontoversi apabila slaid dikendalikan JAIM yang disiarkan di papan layar di masjid memaparkan wajah Abdul Hadi.
Khutbah bertajuk ‘Negaraku, Tanah Airku’ itu disediakan Bahagian Pengurusan Masjid JAIM bersempena Sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu.
Wajah pemimpin pembangkang berkenaan diletakkan bersebelahan dengan sepotong ayat berbunyi;
“Keamanan dan kemajuan negara hendaklah dipertahankan dan memerlukan pemimpin yang adil dan jujur, masyarakat yang harmoni, rakyat yang berdisiplin dan berbudi mulia’.
Dalam slaid lain, turut terdapat wajah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tanpa digantikan dengan gambar YDPA yang baharu, Sultan Ibrahim. – MalaysiaGazette