Ahmad Rahimi Husin (tiga dari kanan) dan sukarelawan menguruskan sumbangan untuk disampaikan kepada mangsa banjir di Changlun dan Jitra.

ALOR SETAR – Banjir yang melanda negeri Kedah telah menjejaskan ribuan penduduk. Prihatin dengan nasib yang menimpa, Universiti Utara Malaysia (UUM) menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Changlun dan Jitra.

Presiden Chance Club, Ahmad Rahimi Husin berkata, program Chance Sharing Love merupakan satu inisiatif bagi mengumpul pakaian dan barangan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir yang kehilangan harta benda termasuk pakaian.

“Kita berusaha membantu masyarakat yang terkesan dengan banjir yang cukup menyedihkan. Sebaik sahaja mengetahui keadaan banjir ini, kami terus mewar-warkan kepada staf untuk menyumbang pakaian, selimut, tuala dan seumpamanya bagi meringankan beban.

“Jadi, kita telah mengerakkan sukarelawan membantu mengumpul pakaian kemudiannya dihantar kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya di Foyer Canselori Sultan Sallehuddin, UUM, semalam.

Sukarelawan menyerahkan Kit Bantuan Bencana UUM untuk disampaikan kepada golongan yang memerlukan.

Pakaian tersebut berjaya dikumpulkan hasil sumbangan daripada staf Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin termasuk Jabatan Canselori, Jabatan Sumber Manusia, Jabatan Hal Ehwal Akademik, dan Jabatan Bendahari.

Kongsinya, dedikasi, kasih sayang serta semangat yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat membuktikan keprihatinan dan mengambil berat terhadap masalah dan keperluan masyarakat masa kini di saat banjir melanda.

“Universiti dan masyarakat berpisah tiada, sememangnya rakyat Malaysia cukup prihatin dan kita mahu memastikan UUM sentiasa bersama dalam apa yang berlaku di luar sana.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas usaha dan komitmen semua yang terlibat dalam usaha untuk membantu mangsa banjir sekali gus memartabatkan agenda kesukarelawan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here