Chef Wan

KUALA LUMPUR – Chef selebriti, Datuk Redzuan hanya ketawa apabila ada pihak cuba membandingkan pencapaiannya dengan selebriti popular media sosial, Khairul Aming.

Redzuan atau mesra disapa Chef Wan, 66, berkata, perbandingan tersebut hanya membuang masa memandangkan mereka berdua datang daripada latar belakang berbeza.

“Buat apa kita nak banding-bandingkan pengalaman dan pencapaian masing-masing. Buang masa! Kenapa nak banding sedangkan kami mempunyai kerjaya dan pengalaman yang berbeza, untuk apa segala perbandingan?” soalnya menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Berserta kapsyen tersebut, Chef Wan turut memuat naik video ulasan milik pempengaruh media sosial, Thaqibshaker mengenai perkara itu.

Sebelum ini, terdapat segelintir pihak yang membandingkan pencapaian dan kemampuan memasak Chef Wan dan Khairul selepas pempengaruh itu menerima kunjungan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.

Sementara itu, Chef Wan  tidak kecewa sekiranya pengalaman dan sumbangannya selama lebih tiga dekad dipandang sepi masyarakat.

Mengakui zamannya sudah berakhir, Chef Wan berkata, dia kini mahu fokus menikmati hari tua dan menguruskan perniagaan.

“Selepas 34 tahun kerjaya saya di televisyen dan sumbangan saya kepada negara, jika mereka tak nampak pun… tak berkudis badan saya.

“Ingat, kita semua ada momen sediri dalam kehidupan, saya pula sudah jauh perjalanan hidup dan luas pandangan.

“Atuk dah pencen nak! Saya selesa dengan keadaan saya dan nikmati hari pencen saya,” jelasnya.

Sementara itu, Chef Wan menegaskan, dia sama sekali tidak berasa iri hati mahupun dengki dengan kejayaan Khairul.

Malah sebagai rakyat Malaysia, dia turut berbangga melihat pencapaian pempengaruh berkenaan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here