Lebih 10 individu termasuk wanita dan kanak-kanak diperiksa dan dibawa ke IPK Selangor untuk proses dokumentasi dalam satu serbuan di pusat perniagaan yang sebahagian besarnya dimiliki oleh rangkaian GISBH ketika di Bandar Country Homes, Rawang. Foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR- Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menawarkan bantuan terhadap mangsa-mangsa Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) terutamanya wanita dan kanak-kanak.

Presidennya, Musa Awang berkata, PGSM menawarkan khidmat nasihat guaman syariah, membawa permohonan ke Mahkamah Syariah berhubung pengesahan status nikah, pengesahan status nasab anak-anak serta hak penjagaan anak-anak oleh waris seperti datuk, nenek atau saudara mara kepada kanak-kanak terbabit.

“PGSM berpandangan bahawa semua pihak pada masa ini wajar menghentikan dan menamatkan salah menyalah serta menuding jari sesama sendiri, sebaliknya menumpukan kepada usaha bantuan dan pemulihan kepada mangsa-mangsa khususnya kepada wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa GISBH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Musa, PGSM telah menyatakan hasrat kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan untuk memberi bantuan dan pemulihan kepada mangsa GISBH terutamanya wanita dan kanak-kanak yang dipercayai terpesong apabila mengikut ajaran Tarekat Aurad Muhammadiyah.

“PGSM selanjutnya berharap usaha murni PGSM untuk tujuan Bantuan dan Pemulihan ini turut mendapat sokongan daripada pihak Kerajaan, agensi-agensi yang berkaitan serta Majlis Agama Islam Negeri-negeri,” katanya lagi,

Sebelum ini media melaporkan 572 kanak-kanak yang menjadi mangsa GISBH berjaya diselamatkan dan ditempatkan di 11 rumah selamat dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, melalui fasa keempat Ops Global yang dijalankan PDRM, seramai 156 individu terdiri daripada 80 lelaki dan 76 wanita telah ditahan.

Katanya, dianggarkan GISBH mempunyai ahli sekitar 10,000 orang termasuk kanak-kanak di seluruh negara. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here