Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Malaysia berada di tempat kelima dalam destinasi dengan carian tertinggi oleh pelancong China untuk menghabiskan cuti pada Minggu Emas (Golden Week).

Minggu emas merupakan cuti yang disambut dua kali setahun di China iaitu sekitar perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Kebangsaan negara itu yang diraikan bermula 1 Oktober setiap tahun.

Cuti selama tujuh hari itu biasanya dimanfaatkan rakyat China untuk menghabiskan masa bersama keluarga sama ada di dalam atau di luar negara.

Naib Presiden Kanan, Bahagian Bekalan di Agoda, Andrew Smith berkata, peningkatan dalam carian untuk perjalanan antarabangsa pada Minggu Emas menunjukkan peningkatan dalam keyakinan warga China untuk menerokai destinasi luar negara.

“Kami berasa teruja apabila melihat destinasi berhampiran dengan pantai timur China seperti Seoul dan Osaka, serta tempat percutian kegemaran Bangkok dan Bali yang lebih jauh ke Selatan menarik minat pelancong China.

“Di samping itu, daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong China semakin meningkat telah terbukti dalam tempoh percutian utama ini.

“Dengan kelebihan rangkaian hotel Asia yang unik, Agoda komited untuk membantu pelancong China untuk menikmati percutian ke seluruh Asia dengan harga yang lebih murah dan tawaran bernilai hebat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lima destinasi luar negara yang popular dalam kalangan warga China untuk Minggu Emas 2024 adalah Jepun diikuti Thailand, Korea Selatan, Indonesia dan Malaysia.

Menurut Agoda, kedudukan berkenaan adalah berdasarkan carian penginapan yang dibuat di platform berkenaan pada Ogos lalu untuk daftar masuk dalam tempoh 1 – 7 Oktober 2024.

Perbandingan data dibuat berdasarkan carian penginapan pada Ogos 2023 untuk daftar masuk antara 1 hingga 7 Oktober 2023. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here