KUALA LUMPUR – Nilai jualan sektor pembuatan meningkat 9.1 peratus kepada RM157.1 bilion pada Julai 2024 (Julai 2023: -3.0%), menunjukkan pertumbuhan tertinggi sejak Februari 2023 (10.3%).

Prestasi ini dipacu oleh pertumbuhan dua digit iaitu sebanyak 16.0 peratus (Jun 2024: 8.6%) dalam subsektor makanan, minuman & tembakau; diikuti oleh subsektor peralatan elektrik & elektronik (8.2 peratus); dan petroleum, kimia, getah & plastik (6.2 peratus).

Berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan tumbuh sebanyak 0.6 peratus daripada RM156.1 bilion pada Jun 2024 (0.8%).

Jabatan Perangkaan berkata, industri berorientasikan eksport yang merangkumi 72.3 peratus daripada jumlah nilai jualan, kekal kukuh dengan pertumbuhan 9.4 peratus pada Julai 2024 selepas mencatatkan peningkatan 6.0 peratus pada bulan sebelumnya.

Prestasi yang lebih baik ini disebabkan terutamanya oleh peningkatan dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (9.1%); pembuatan minyak
dan lemak daripada sayuran dan haiwan (23.5%); dan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (4.8%).

Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan industri berorientasikan eksport turun sedikit sebanyak 0.5 peratus (Jun 2024: 3.9%).

Industri berorientasikan domestik mengukuh pada 8.4 peratus (Jun 2024: 5.5%), dipengaruhi terutamanya oleh pembuatan produk makanan pada 7.0 peratus.

Dalam pada itu, industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler memulih kepada 6.2 peratus daripada penurunan 5.2 peratus yang direkodkan
pada bulan sebelumnya.

Bagi perbandingan secara bulanan, nilai jualan industry berorientasikan domestik meningkat semula sebanyak 3.7 peratus selepas kekal pada trend menurun sejak April 2024 (Jun 2024: -6.7%).

Terdapat 2.37 juta pekerja terlibat dalam sektor pembuatan pada Julai 2024, meningkat 1.3 peratus (Jun 2024: 1.0%) berbanding setahun lalu.

Pertumbuhan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh makanan, minuman & tembakau (4.0%); produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka
(2.3%); dan kayu, perabot, produk kertas & percetakan (1.2%).

Berbanding dengan bulan sebelumnya, bilangan pekerja dalam sektor ini merosot sedikit 0.01 peratus (Jun 2024: -0.3%).

Nilai jualan sektor pembuatan mencapai RM157.1 bilion pada Julai 2024, mencatatkan peningkatan 9.1 peratus berbanding setahun yang lalu.

Gaji & upah dibayar dalam sektor pembuatan meningkat sebanyak 2.4 peratus, mencecah jumlah RM8.12 billion, menjadikan kenaikan purata gaji & upah bulanan setiap pekerja adalah sebanyak 1.2 peratus kepada RM3,429 (Jun 2024: 0.8%; RM3,459).

Selari dengan itu, nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat sebanyak 7.8 peratus untuk merekodkan RM66,285 (Jun 2024: 4.8%; RM65,874).

Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini (Januari – Julai 2024), nilai jualan kumulatif sektor pembuatan mencatatkan RM1,078.6 bilion, meningkat 4.5 peratus berbanding tempoh yang sama 2023 (Januari – Julai 2023: RM1,032.6 bilion; 2.5%).

Bilangan pekerja meningkat 1.3 peratus kepadasejumlah 2.37 juta orang, manakala gaji & upah tumbuh 1.5 peratus kepada RM57.4 bilion.

Selain itu, nilai jualan bagi setiap pekerja berjumlah RM455,213, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.2 peratus. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here