Wan Ahmad Afiq (tiga dari kiri) menyampaikan memorandum cadangan penarikan balik darjah kebesaran Datuk kepada Amirul Hakim di Seri Negeri di sini hari ini.

MELAKA – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan Istana Melaka supaya menarik balik
gelaran Datuk yang dianugerahkan kepada Pengerusi GISB Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali padanya 25 Ogos lalu.

Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk itu diperolehi beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH sempena ulang tahun ke-75 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Pengerusi Pertubuhan Kepimpinan Anak Bangsa Melaka (PKABM), Wan Ahmad Afiq Noordin berkata, cadangan penarikan balik darjah kebesaran itu susulan siasatan pihak berkuasa terhadap beliau berhubung tuduhan serius, termasuk isu pemerdagangan manusia.

“Walaupun Nasiruddin belum didapati bersalah oleh mahkamah, dakwaan itu memberi impak negatif kepada persepsi masyarakat terhadap penganugerahan pingat kebesaran negeri.

“Siasatan ini dilihat telah mencemarkan nama baik negeri Melaka kerana menonjolkan seorang individu yang kini terlibat dalam kontroversi besar.

“Lebih memburukkan keadaan selepas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah menetapkan ajaran yang diamalkan oleh GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya fahaman batiniah yang melampaui batas agama Islam,” katanya.

Wan Ahmad Afiq pada sidang media penyerahan memorandum cadangan penarikan balik darjah kebesaran Datuk di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan memorandum cadangan penarikan balik darjah kebesaran itu kepada Penolong Setiausaha Kerajaan Pejabat Yang di-Pertua Negeri, Amirul Hakim Mohd Yusof di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Afiq berkata, NGO itu turut melancarkan petisyen rakyat di laman web change.org yang turut menyokong cadangan penarikan balik gelaran itu.

“Setakat ini, kita telah telah mengumpul hampir 1,000 tandatangan petisyen ini yang jelas mencerminkan keresahan dan kebimbangan mereka terhadap isu ini.

“Kami memohon pihak Istana Melaka mempertimbangkan penarikan semula gelaran Datuk ini untuk memastikan Melaka terus dikenali sebagai negeri yang menyanjung tinggi integriti dan moraliti,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here