Pelakon, Fazura hadir bagi sebutan kes permohonan cerai yang difailkan untuk suaminya yang juga pelakon, Fattah Amin ketika di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari. Foto MOHD ADZLAN, 25 SEPTEMBER 2024.

SHAH ALAM – Pelakon terkenal, Nur Fazura kelihatan tenang di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini hari ini bagi sebutan kes permohonan cerai ke atas suaminya, Fattah Amin.

Pemilik nama sebenar, Nur Fazura Sharifuddin, 41, turut mengakui dia tenang sambil tersenyum apabila diasak soalan oleh puluhan pengamal media yang menanti sejak pukul 8 pagi.

“Alhamdulillah, tenang…tenang,” kata Fazura ringkas.

Sementara itu, kehadiran Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27 itu diiringi empat pengawal peribadi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam dan sebuah kenderaan Range Rover.

Pada 13 September lalu, Fazura dikatakan hadir ke mahkamah sama bagi memfailkan cerai terhadap Fattah.

Bagaimanapun, Fattah, 33, memaklumkan terkejut apabila menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.

Fattah berkata, dia masih menyayangi Fazura dan menegaskan tiada wanita lain yang menjadi punca keretakan rumah tangga mereka.

Sementara itu, Fazura kekal memilih mengunci mulut mengenai perceraian yang difailkan.

Pengurusnya, Iman Tang dalam satu kenyataan berkata, proses perceraian tersebut dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard perundangan negara dan mereka tidak pernah berkongsi butiran lanjut atau tarikh prosiding kepada umum.

Ia berikutan terdapat laporan di media sosial mendakwa Fazura memohon untuk berpisah secara baik dan tarikh sebutan kes penceraian pasangan tersebut dikatakan pada 25 September ini.

Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia tiga tahun.

Sebelum ini, isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah diperkatakan dalam media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran di akaun masing-masing.

Kisah pasangan terkenal ini terus menjadi perbincangan di gelanggang media sosial hingga menarik perhatian netizen. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here