Pelakon, Fattah Amin selepas hadir bagi sebutan kes permohonan cerai yang difailkan oleh isterinya, Fazura ketika di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari. Foto MOHD ADZLAN, 25 SEPTEMBER 2024.

SHAH ALAM – Pelakon, Fattah Amin mengakui masih menyayangi Fazura walaupun isterinya telah memfailkan permohonan perceraian terhadapnya pada 13 September lalu.

Fattah, 33, bagaimanapun berharap apa yang berlaku dalam isu rumahtangganya itu dapat diselesaikan cara baik.

Malah dia akan menyelamatkan rumah tangganya seperti yang ditegaskan sebelum ini.

“Saya mohon doa kepada semua yang terbaik untuk kami dan saya masih berpegang dengan kenyataan sebelum ini (menyelamatkan rumah tangga).

“Saya masih, masih (menyayangi Fazura),” katanya ketika menjawab soalan sama ada dia masih menyayangi Fazura ketika ini.

Pasangan pelakon terkenal itu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pagi ini bagi sebutan kes permohonan perceraian yang difailkan Fazura dua minggu lalu.

Fazura, 40, yang tiba di mahkamah pukul 9.25 pagi mengenakan jubah putih ditemani peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan bersama empat pengawal peribadi.

Mengulas lanjut, Fattah turut menjelaskan dia tidak melafazkan penceraian dan enggan menjawab soalan spekulasi yang melibatkan isu curang.

Sementara itu, peguamnya, Zulkifli Che Yong berkata, Fattah belum setuju untuk bercerai secara baik atau sebaliknya.

Ini kerana pihak yang terbabit dalam kes itu sedang menyelesaikan terma bagi menyelesaikan isu semasa yang berkait dengan perkahwinan dan sekiranya berlaku perceraian.

“Saya ingin nyatakan dalam mahkamah sebentar tadi pihak defendan telah menyatakan setakat ini belum setuju atau sedia untuk bercerai dengan baik kerana pihak dalam kes ini sedang cuma memuktamadkan terma secara baik isu yang berkait semasa perkahwinan dan sekiranya berlaku penceraian.

“Jadi perkara itu adalah perlu untuk pihak menyelesaikan secara baik dan muktamadkan terlebih dahulu agar mereka selepas ini tidak perlu memanjangkan perkara yang belum selesai.

“Saya berdoa pada kedua pihak dapat selesai dengan baik dan sekiranya sedemikian akan nyatakan pendirian pada 7 Oktober ini untuk bersetuju perceraian secara baik,” katanya.

Sementara itu, Mahkamah Rendah Syariah Petaling menangguhkan kes permohonan cerai Fazura kepada 7 Oktober ini.

Peguam, Fakhrul Azman berkata, penangguhan itu bagi memberi ruang perbincangan yang dicadangkan oleh pihak peguam Fattah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Alhamdulillah, saya tenang – Fazura

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast