Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) antara 10 individu yang dipercayai pengurusan tertinggi dibawa ke Mahkamah sebelum mendapatkan perintah sambung reman ketika di Mahkamah Majistret Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 25 SEPTEMBER 2024.

SHAH ALAM – Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dan isterinya antara 19 individu hari ini disambung reman selama empat hari.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali mengeluarkan perintah sambung reman sehingga 28 September ini ke atas kesemua individu tersebut.

Mereka yang dikawal ketat meninggalkan kompleks mahkamah pada jam 2.15 petang.

Turut dihadapkan ke mahkamah majistret di sini ialah lima individu disyaki ahli GISBH termasuk anak lelaki bekas pengasas Al-Arqam yang ditahan reman seminggu selepas ditahan di Bukit Kayu Hitam pada 18 September untuk disambung reman sehingga Sabtu ini.

Kesemua 24 suspek itu dibawa ke mahkamah secara berasingan dengan menaiki trak dan van polis.

Pada 19 September lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan CEO GISBH dan isteri antara 19 individu dikenalpasti sebagai pengurusan tertinggi gerakan itu direman selama tujuh hari.

Mereka telah ditahan menerusi serbuan Op Global yang dijalankan di empat unit kediaman mewah yang terletak di Jalan Imbi, ibu negara.

Kesemua mereka ditahan untuk membantu membantu siasatan di bawah Seksyen 32 (a) Akta Kanak Kanak 2001, Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast