Pemain Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid meraikan jaringan kedua pada perlawanan Pesta Bola Merdeka 2024 menentang Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 4 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti akan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di luar negara menentang India pada 19 November depan.

Venue dan waktu sepak mula perlawanan akan dimaklumkan selepas dimuktamadkan oleh pihak tuan rumah iaitu Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF).

Berdasarkan kemas kini ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 19 September lalu, India kini berada di kedudukan ke-126 dunia, enam anak tangga dibezakan dengan Malaysia pada kedudukan ke-132 dunia.

Perlawanan tersebut bakal berlangsung dalam Kalendar Antarabangsa FIFA bermula 11 hingga 19 November ini yang mana FAM juga ketika ini masih sedang mengesahkan satu lagi perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang satu lagi pasukan lain dalam tempoh berkenaan.

Kali terakhir Malaysia bertemu India ialah pada 13 Oktober lalu untuk perlawanan Pestabola Merdeka 2023.

Ketika itu, skuad Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing Kim Pan-gon mencatat kemenangan 4-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Malaysia pernah bertandang ke India bagi siri dua perlawanan persahabatan menentang negara tersebut pada 2011 yang mana skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K. Rajagobal ketika itu seri 1-1 pada aksi pertama di Guwahati dan tewas 2-3 pada aksi kedua di Kolkata.

Sebelum itu, Harimau Malaya bakal berdepan pasukan ranking ke-94 dunia, New Zealand pada perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober ini.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya bertemu New Zealand ialah 18 tahun yang lalu iaitu ketika skuad yang dibimbing Norizan Bakar tewas 0-1 pada aksi persahabatan pertama di Christchurch pada 19 Februari 2006 dan tewas 1-2 pada aksi persahabatan kedua di Auckland pada 23 Februari 2006. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here