Raphael Varane

LONDON – Bekas bintang Manchester United, Raphael Varane bakal mengambil keputusan untuk bersara dalam karier bola sepak pada usia 31 tahun.

Selepas meninggalkan United pada akhir musim 2023/24 sebagai ejen bebas, beliau menyertai pendatang baru Serie A, Como pada Ogos lalu.

Varane hanya sempat membuat satu penampilan buat Como dalam aksi Coppa Italia dengan Sampdoria pada bulan sama.

Pemenang Piala Dunia itu bagaimanapun terpaksa dikeluarkan jurulatih, Cesc Fabregas selepas 20 minit kerana mengalami kecederaan.

Hasil pemeriksaan mendapati Varane mengalami kecederaan lutut yang serius.

Keadaan itu menyebabkan bekas bek tengah Real Madrid itu perlu berehat untuk tempoh lama yang menyebabkan Fabregas terpaksa mengeluarkan nama Varane daripada senarai pemain yang didaftarkan untuk Serie A.

Sementara itu, akhbar Le Parisien melaporkan bek tengah Perancis itu menimbang kemungkinan menggantung but.

Varane dijangka mengumumkan keputusan tentang masa depannya dalam masa terdekat.

Memulakan karier bersama kelab Ligue 1, Lens, dia menyertai Los Blancos pada usia 18 tahun dan merekodkan 360 penampilan bersama Real Madrid dari 2011 hingga 2021.

Tempoh tersebut menyaksikan dia menjulang pelbagai trofi termasuk La Liga, Copa del Rey dan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Selepas menyertai United pada 2021, Varane merekodkan 95 penampilan termasuk aksi akhir The Emirates FA Cup musim 2023/24.

Final itu menyaksikan The Red Devils muncul juara dengan mengatasi musuh setempat, Manchester City. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast